Politik kaum dan agama ‘mencair’ di Indonesia, merebak pula di Malaysia
Essan Yahya, Fauzi Zin
Februari 9, 2024 10:20 MYT
Februari 9, 2024 10:20 MYT
JAKARTA: Politik identiti berteraskan unsur perkauman dan agama ketika berlangsungnya siri kempen Pemilihan Umum (Pemilu) Indonesia 2024 dilihat semakin berkurangan dan tidak lagi relevan jika dibandingkan dengan Pilihan Raya Presiden 2019.
Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisomuddin Bakar berkata sebaliknya ia (politik identiti) merebak ke Malaysia lebih-lebih lagi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Proses demokrasi di Indonesia biasanya mendahului Malaysia termasuk politik berteraskan identiti pada Pilpres 2019 dan isu yang digerakkan dalam kempen yang berunsurkan perkauman dan agama dimainkan sepenuhnya malah ia menjadikan situasi lebih panas.
“Tetapi kali ini kita melihat situasi itu semakin mencair dan tidak lagi relevan yang dijalankan sepanjang tempoh kempen kali ini.
“Saya yakin fenomena ini sudah berlaku kepada negara kita (ketika ini), maksudnya politik identiti berlaku 2019 di Indonesia dan ia sampai berlaku di Malaysia pada 2022 (PRU15),” katanya ketika ditemu bual oleh Astro AWANI.
Sebaliknya jelas Hisomuddin, apa yang berlaku ketika ini adalah tumpuan terhadap tawaran oleh calon yang lebih substantif dan juga dekat di hati pengundi berbanding kempen yang berteraskan identiti.
Selain itu, tambah penganalisis politik, penting untuk pemerhati luar meninjau perspektif yang berlaku ketika Pemilu 2024 adalah mengenai penyebaran berita palsu.
“Apa yang menariknya berita ‘hoax’ ini tidak lagi relevan ketika ini, malah siapa yang guna elemen itu akan ditolak oleh pengundi.
“Jadi itu ada sedikit kelebihan, di mana, ada kematangan demokrasi telah bermula di Indonesia,” katanya lagi.
Sebelum ini, wakil Menteri Komunikasi dan Informatika Nezar Patria memaklumkan politik identiti dan berita palsu sepanjang kempen Pemilu 2024 dilaporkan menurun.
Ikuti laporan menyeluruh Pemilu 2024 yang dibawakan di semua platform Astro AWANI bersama wartawan Essan Yahya dan Fauzi Zin yang kini berada di Jakarta Indonesia.