Politik Israel: Lapid hampir tumbangkan Netanyahu
Astro Awani
Jun 3, 2021 10:17 MYT
Jun 3, 2021 10:17 MYT
PEMIMPIN pembangkang Israel pada Rabu semakin hampir untuk menumbangkan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.
Ia susulan Yair Lapid mengumumkan secara rasmi kesepakatan dengan sekutu politik bagi membentuk kerajaan baharu.
Perkara itu disahkan pemimpin parti Yesh Atid itu menerusi satu e-mail kepada Presiden Reuven Rivlin.
Rakan utama Lapid ialah nasionalis Naftali Bennett, yang menerajui parti Yamina, yang akan menjadi Perdana Menteri pertama.
Jawatan itu akan disandang secara bergilir oleh mereka setiap dua tahun, dimulai dengan Bennet.
Kerajaan gabungan ini akan terdiri daripada beberapa parti kecil dan sederhana.
Ia termasuk parti Islam pimpinan Mansour Abbas, Ra'am, sebuah parti yang mewakili 21 peratus minoriti Arab di Israel, yang merupakan kali pertama terjadi dalam sejarah Zionis.
Turut termasuk, parti Biru dan Putih, diketuai Menteri Pertahanan Benny Gantz yang pernah bekerjasama dengan Netanyahu untuk membentuk kerajaan, parti sayap kanan Israel Our Home and New Hope, parti Buruh dan parti Meretz.
Namun, kerajaan baharu yang rapuh, dengan menguasai majoriti tipis di Parlimen itu hanya akan mengangkat sumpah 10 hari dari sekarang.
Ini mememberi ruang kepada kem Netanyahu untuk cuba membatalkannya dengan menarik Ahli Parlimen menyokong pihaknya.
Penganalisis politik Israel menjangkakan Netanyahu akan cuba mengambil setiap langkah politik bagi memastikan perkara itu berlaku.
Pengakhiran Netanyahu, individu paling lama berkhidmat sebagai Perdana Menteri Israel itu, akan membawa perubahan besar dalam dasar luar Zionis.
Lapid diberi tugas untuk membentuk pakatan yang memerintah selepas Netanyahu gagal melakukannya, susulan pilihan raya 23 Mac lalu.
Kesepakatan pembangkang itu mengakhiri pemerintahan 12 tahun Netanyahu, perdana menteri paling lama berkhidmat di Israel, yang sedang menghadapi perbicaraan atas tuduhan jenayah rasuah dalam tiga kes berasingan.