Polisi anti-Zionis kerajaan Republik Ireland perlu dicontohi - Dr Afifi
Israr Khalid
Mei 21, 2021 11:49 MYT
Mei 21, 2021 11:49 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia dan negara-negara Islam lain perlu meneladani langkah yang diambil kerajaan Republik Ireland untuk menentang kedurjanaan rejim Zionis di Palestin.
Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Datuk Dr Afifi al-Akiti memberitahu, republik itu melaksanakan dasar yang menyekat terus sebarang hubungan dan aktiviti dengan negara haram tersebut.
Katanya, apabila kita tidak berupaya melawan kekuatan ketenteraan Israel, polisi kerajaan adalah medium alternatif terbaik untuk memberi tekanan kepada mereka.
“Mereka (Republik Ireland) buat dua benda. Pertama dengan merangka undang-undang pada 2018 dipanggil ‘The Occupied Territories Bill’ untuk boikot, sekat dan lupus atau hentikan apa sahaja hubungan dengan Israel.
“Kedua, Ireland menghantar bantuan terus ke Palestin. Bukan melalui NGO, tetapi kerajaan mereka sendiri menghantar bantuan dalam bentuk jurutera untuk bina loji-loji air serta kepakaran perubatan, tidak hanya memberi suntikan kewangan tetapi membina infrastruktur."
Jika negara-negara Islam, khususnya yang berjiran dengan Palestin belum berbuat demikian, beliau merasakan sudah sampai masanya langkah yang lebih tegas dilaksanakan.
Kenyataan bantahan dan kutukan sahaja tidak memadai, jelas Afifi, sebaliknya, strategi dan perancangan perlu dirangka dan disusun sebaiknya untuk menamatkan penindasan rejim yang dianggap sebagai aparteid ini.
Selain menerusi dasar kerajaan, status quo dan layanan dua darjat atau ‘double-standard’ Barat terhadap isu penjajahan Palestin ini boleh diruntuhkan dengan desakan menerusi pendekatan hak asasi manusia.
Jelas Afifi, Amerika Syarikat sejak belakangan ini dilihat ‘bersungguh’ mempertahankan isu hak asasi manusia yang pelbagai cabangnya, tetapi aneh apabila isu Palestin dibangkitkan, mereka mengunci mulut, tangan dan kaki.
“Human Rights Watch buat pertama kalinya dalam sejarah menerusi laporannya pada April 2021 menyatakan bahawa kerajaan Israel telah melakukan dua jenayah kemanusiaan, iaitu penganiayaan dan aparteid.
“Malah, organisasi hak asasi manusia Israel sendiri, B’Tselem juga hadir dengan konklusi yang sama bahawa Zionis adalah sebuah rejim aparteid.
“Jadi kita boleh gunakan pendekatan ini. Kalau Amerika boleh menyokong gerakan ‘Black Lives Matter’, bagaimana dengan nyawa orang Palestin? Semacam ada kemunafikan di situ,” ujarnya.
Pada masa sama, Afifi bersetuju bahawa negara-negara Islam sendiri perlu mengukuhkan hal ehwal dalaman dan memperkuatkan diri masing-masing sebelum kejayaan dapat dicapai secara kolektif.
Beliau memberi contoh kejayaan Sultan Salahuddin al-Ayyubi menakluk Baitulmaqdis pada tahun 1187, di mana ia mengambil sekitar 100 tahun dari bermulanya Perang Salib pertama untuk empayar Islam mengukuhkan penguasaannya di Timur Tengah sebelum berupaya menakluk kota suci itu.
“Sehingga kita dapat melahirkan satu lagi Sultan Salahuddin, kita perlu kuat dalam polisi domestik, ketenteraan dan polisi luarnya. Barulah kita dapat menyelamatkan Baitulmaqdis,” katanya.
Tonton Dialog Tiga Penjuru: ‘Di Sebalik Senyuman Hamza’ dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini: