Polis Turki jumpa 'bukti' Jamal Khashoggi dibunuh

Astro Awani
Oktober 17, 2018 06:45 MYT
Pegawai forensik Turki tiba di kediaman Konsul Besar Arab Saudi, Mohammed al-Otaibi, di Istanbul, Turki, 17 Okt, 2018. REUTERS
Polis Turki mendakwa memiliki bukti wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi, dibunuh di bangunan Konsulat Arab Saudi, di Istanbul.
Kenyataan terbaharu ini dibuat ketika pihak berkuasa Turki menggeledah kediaman diplomat Mohammed al-Otaibi, selepas beliau meningalkan negara itu.
Menurut media Turki, Mohammed meninggalkan Turki untuk ke Riyadh melalui penerbangan jam 2 petang waktu tempatan pada Selasa.
Dilaporkan, Mohammed kembali ke tanah air, sebaik menerima berita polis Turki mahu menggeledah kediamannya.
Jamal, seorang wartawan anti-kerajaan, dilaporkan hilang sejak dua minggu lalu selepas dia memasuki bangunan konsulat itu.
Polis Turki percaya dia dibunuh oleh ejen Arab Saudi di konsulat tersebut, sebelum mayatnya dibuang atau dihapuskan.
Menurut laporan CNN, mayat Khashoggi dipotong kepada beberapa bahagian selepas dibunuh di dalam bangunan konsulat itu.
Dakwaan itu pertama kali didedahkan kepada akhbar New York Times oleh sumber keselamatan Turki.
Ia susulan operasi penggeledahan di bangunan itu selama sembilan jam pada Selasa.
Bagaimanapun, sumber sama tidak mendedahkan bagaimana mayat Khashoggi dilupuskan.
Wartawan kanan yang juga pengkritik lantang pentadbiran Riyadh itu hilang sejak 2 Oktober lalu.
Dia kali terakhir dilihat memasuki bangunan konsulat.
Khashoggi dilaporkan mempunyai urusan untuk mendapatkan dokumen bagi melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya, warga Turki Hatice Cengiz.
Riyadh mendakwa Khashoggi meninggalkan bangunan konsulat, namun tunangnya menegaskan tidak lagi melihat kelibat beliau selepas memasuki bangunan itu.
#Arab Saudi #bukti #bunuh #geledah #hilang #Istanbul #Jamal Khashoggi #konsulat #Mohammed al-Otaibi #polis #tunang #Turki
;