Polis Thailand temukan sianida dalam teko teh di bilik hotel enam individu maut
Bernama
Julai 17, 2024 23:02 MYT
Julai 17, 2024 23:02 MYT
BANGKOK: Siasatan awal forensik mendapati enam individu yang ditemukan maut di sebuah bilik hotel terkemuka di Ratchaprasong petang semalam melibatkan sianida, sejenis racun kimia, menurut Polis Thailand.
Timbalan Pesuruhjaya Biro Polis Metropolitan, Mejar Jeneral Polis Nopasilp Poonsawat berkata hari ini, bukti forensik mendapati cawan yang diletakkan di bilik terlibat mengandungi sianida.
"Berdasarkan keputusan ujian awal, analisis kualitatif mengenal pasti kehadiran sianida dalam cecair dalam teko teh, serta sisa pada enam cawan kopi.
Dalam siasatan kami setakat ini, kami mengesyaki bahawa seorang daripada enam individu yang ditemukan di bilik tersebut bertanggungjawab atas kematian itu dengan menggunakan sianida," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.
Beliau berkata polis akan mengumpulkan semua bukti, termasuk bekerjasama dengan pegawai Vietnam dan Amerika Syarikat (AS) , serta Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk memastikan siasatan yang menyeluruh dan telus.
Nopasilp berkata siasatan mengesahkan ini adalah masalah peribadi antara individu yang terlibat dan tidak berkaitan dengan mana-mana kumpulan atau organisasi jenayah yang beroperasi di Thailand.
"Pemeriksaan ke atas kesemua lapan beg perjalanan milik si mati tidak mendedahkan sebarang barangan haram. Walau bagaimanapun, kami menemui dokumen sah berkaitan tuntutan mahkamah mengenai tanah dari tahun 2022. Dokumen ini akan diterjemahkan oleh jurubahasa, tetapi tiada kaitan langsung dengan insiden semasa pada masa ini," katanya.
Namun begitu, beliau berkata polis telah mengarahkan Biro Imigresen untuk bekerjasama dengan Kedutaan Vietnam bagi menyiasat latar belakang semua mangsa.
Enam mayat yang dilaporkan terdiri daripada dua warga AS keturunan Vietnam dan empat rakyat Vietnam ditemukan di sebuah bilik hotel sekitar pukul 4.30 petang Selasa.
Semalam, siasatan polis mendapati bahawa keenam-enam mereka telah meninggal dunia dalam tempoh kurang daripada 24 jam akibat keracunan kerana tiada tanda-tanda trauma atau rompakan.
-- BERNAMA