Polis Thailand tembak mati suspek kes bunuh

Bernama
Mac 23, 2023 17:17 MYT
Leftenan Jeneral Thanayut Wutcharatthamrong berkata polis mengepung rumah suspek sejak 3 petang (waktu tempatan) pada Rabu. -Gambar hiasan/Pexels
BANGKOK: Polis Thailand menembak mati seorang suspek lelaki yang melepaskan tembakan menyebabkan tiga orang terbunuh manakala tiga yang lain cedera termasuk seorang pegawai polis, di wilayah Phetchaburi hari ini.
Lelaki berusia 29 tahun itu mati ditembak di rumahnya kira-kira 4 pagi (waktu tempatan).
Panglima Polis Wilayah 7, Leftenan Jeneral Thanayut Wutcharatthamrong berkata polis mengepung rumah suspek sejak 3 petang (waktu tempatan) pada Rabu.
"Polis cuba memujuknya untuk menyerah diri termasuk membawa ibunya, namun tidak diendahkan sebaliknya suspek melawan dan melepaskan tembakan.
"Polis kemudian menyerbu rumah itu dan menahan lelaki itu yang lari ke bilik di tingkat dua," katanya kepada pemberita hari ini.
Thanayut berkata tiga yang maut terdiri dua penuntut universiti berusia 22 tahun dan seorang penghantar barang berusia 27 tahun, manakala tiga lagi cedera termasuk seorang pegawai operasi khas dan seorang ketua di kawasan kejiranan itu yang turut membantu berunding dan memujuk suspek.
Suspek pernah bertugas sebagai renjer taman negara dan menjalani tempoh percubaan selama enam bulan.
Insiden pada Rabu itu mengingatkan semula kejadian pada Oktober tahun lepas apabila seorang sarjan polis yang dipecat kerana kesalahan dadah, mengamuk di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di wilayah Nong Bua Lam Phu, menyebabkan 36 orang termasuk 24 kanak-kanak terbunuh.
-- BERNAMA
#sarjan polis #polis thailand #Phetchaburi #Thanayut Wutcharatthamrong
;