Polis Thailand tahan 50 PATI dalam perjalanan ke Malaysia

Bernama
Oktober 19, 2022 21:54 MYT
Pasukan keselamatan terdiri imigresen, polis dan polis marin menahan tiga buah pikap yang mencurigakan di Jalan Phatthalung-Hatyai. - Gambar hiasan/ Reuters
SONGKHLA: Pasukan keselamatan Thailand hari ini menahan 50 pendatang tanpa izin warga Myanmar dalam satu operasi di Songkhla.
Ketua Polis Rattaphum, Kolonel Sirakoson Prabkeri berkata dalam kejadian 11 pagi (waktu tempatan) pada Rabu, pasukan keselamatan terdiri imigresen, polis dan polis marin menahan tiga buah pikap yang mencurigakan di Jalan Phatthalung-Hatyai.
"Hasil pemeriksaan ke atas ketiga-tiga kenderaan itu kita menahan 50 warga Myanmar iaitu 37 lelaki dan 13 perempuan berusia antara 25 dan 35 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan.
"Kesemua warga Myanmar itu dipercayai dalam perjalanan ke sempadan untuk menyeludup masuk ke negara jiran," katanya pada satu sidang media di sini hari ini.
Sirakoson berkata tiga pemandu pikap warga tempatan berusia antara 34 dan 40 tahun turut ditahan.
Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diberikan seorang daripada pemandu yang ditahan itu, mereka yang berjaya membawa PATI dari Prachuap Khiri Khan ke Hatyai, Songkhla akan mendapat upah 20,000 baht.
-- BERNAMA
#Thailand #pati #Myanmar #Malaysia
;