Polis Thailand gagalkan cubaan seludup satu tan ganja
Bernama
Februari 22, 2018 04:46 MYT
Februari 22, 2018 04:46 MYT
Polis menggagalkan cubaan menyeludup lebih satu tan ganja apabila menahan sebuah lori yang membawa dadah itu di Trang, selatan Thailand dua hari lepas, sebelum kenderaan itu meneruskan perjalanannya ke wilayah Satun yang terletak berhampiran Perlis, iaitu negeri di utara Malaysia.
Komander Wilayah Polis Lebuh Raya Kawasan 7, Kolonel Pakin Na Ranong berkata lori yang membawa 1.09 tan ganja itu dapat dipintas polis sebelum ia menghantar dadah berkenaan ke Satun untuk diseludup ke 'sebuah negara jiran yang tidak dikenal pasti'.
Dua lelaki yang menaiki lori berkenaan, yang menggunakan nombor pendaftaran palsu, cuba melarikan diri ketika ditahan polis di pusat pemeriksaan tetapi dapat ditangkap untuk siasatan lanjut.
"Dua lelaki tempatan itu, yang masing-masing berusia 30 tahun, adalah bekas banduan dan mereka memandu lori berkenaan dari timur laut Thailand sejak 13 Feb.
"Mereka diupah sebanyak 100,000 Baht (RM12,800) untuk mengangkut dadah itu yang diisi di dalam 25 guni ke Satun," katanya pada Khamis.
Menurutnya, dari Satun, ganja itu dirancang untuk diseludup ke 'negara jiran' melalui laut.
-- BERNAMA