BANGKOK: Polis Thailand membongkar operasi jenayah siber besar melibatkan aktiviti haram bernilai 3.6 bilion baht (100 baht = RM12.97), yang dijalankan melalui syarikat yang hanya wujud di atas kertas atau shell company dan akaun penama.

Menurut Kol Pol Theeraphas Yungyuen dari Biro Siasatan Pusat (CIB), pelabur, terutamanya dari China dan Malaysia, mengupah 14 firma perakaunan untuk mendaftarkan entiti korporat dan membuka akaun bank untuk aktiviti haram.

Semasa operasi di seluruh negara pada November, Theeraphas berkata, lapan suspek dari Malaysia dikenal pasti kerana disyaki terbabit dalam mendaftarkan syarikat tanpa aktiviti itu untuk memudahkan pengubahan wang haram dan menguruskan hasil daripada jenayah yang berkaitan dengan teknologi.

"Daripada lapan suspek Malaysia, dua ditahan manakala waran tangkap dikeluarkan terhadap enam lagi individu yang dipercayai berada di luar negara, kemungkinan di Malaysia atau Kemboja," kata Theeraphas kepada Bernama pada Rabu.

Beliau berkata, 314 akaun bank telah disita dengan jumlah nilai transaksi melebihi 3.6 bilion baht dan polis percaya peguam, akauntan serta wakil yang diberi kuasa yang terlibat dalam proses pendaftaran turut membantu aktiviti haram itu.

Theeraphas berkata, siasatan mendedahkan rangkaian lebih luas yang melibatkan 198 entiti korporat dan 695 individu, termasuk 37 warga asing dan 658 rakyat Thailand, yang didakwa terlibat dalam operasi itu.

Beliau menjelaskan, suspek biasanya menjalin hubungan dengan wanita Thailand, menyamar sebagai teman wanita, isteri, atau rakan rapat, yang kemudiannya ditugaskan merekrut individu untuk membuka "akaun keldai" atau menyusun pakej akaun.

Beliau berkata, akaun ini dijual kepada rangkaian jenayah yang terlibat dalam penipuan pusat panggilan, perjudian dalam talian atau skim pengubahan wang haram.

"Kumpulan yang terlibat dalam operasi ini dipercayai antara yang pertama menganjur dan membekalkan akaun korporat untuk tujuan haram sedemikian. Penggunaan perbankan Internet membolehkan mereka mengeksploitasi kelemahan kawal selia, menjadikan akaun itu berfungsi untuk transaksi haram tanpa dapat dikesan dengan segera," katanya.

Beliau berkata, dua suspek warga Malaysia yang ditahan kini berada dalam tahanan Biro Siasatan Pusat (CIB) untuk siasatan lanjut, manakala polis Thailand sedang berkerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia bagi mengesan enam suspek yang masih bebas.

Theeraphas berkata, dua individu yang ditahan akan didakwa atas pertuduhan bersekongkol untuk mendapatkan akaun keldai dan bertindak sebagai broker bagi akaun yang dikaitkan dengan pengubahan wang haram.

Waran tangkap dikeluarkan terhadap enam lagi suspek, namun mereka belum kembali ke Thailand.

- BERNAMA