Polis Thai ditembak di kepala ketika cari penunjuk perasaan antikerajaan di flet
Bernama
Oktober 7, 2021 00:31 MYT
Oktober 7, 2021 00:31 MYT
BANGKOK: Seorang anggota polis yang mencari penunjuk perasaan antikerajaan yang melarikan diri ke flet Din Daeng di Bangkok cedera parah, setelah ditembak di kepala oleh orang yang tidak dikenali.
Media tempatan melaporkan kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.45 malam (waktu tempatan) Rabu, di flet yang terletak berhampiran persimpangan Din Daeng, lokasi penunjuk perasaan antikerajaan bertempur dengan polis hampir setiap hari sejak Ogos.
Flet Din Daeng merupakan tempat para penunjuk perasaan yang melarikan diri daripada polis sering berlindung.
Timbalan jurucakap polis, Kol Kissana Phathanacharoen berkata anggota polis itu dikejarkan ke Hospital Besar Polis.
"Beliau masih dalam keadaan kritikal," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Thai PBS melaporkan sebutir peluru dipercayai menembusi topi keledar pegawai itu dan terbenam di tengkoraknya.
Bulan lalu, penduduk flet Din Daeng telah membuat aduan polis terhadap penunjuk perasaan kerana dikatakan menyerang mereka. Sekumpulan lagi penduduk menuntut ganti rugi atas kerosakan yang disebabkan oleh penunjuk perasaan di flet Din Daeng.
Pada Rabu, Kissana mengatakan para penunjuk perasaan berkumpul di persimpangan Din Daeng dan Jalan Mitmaitree, dan mereka juga melemparkan mercun dan bom ping pong ke arah polis.
"Polis memulakan operasi pada pukul 10.30 malam dengan mematuhi undang-undang dan arahan. Polis menahan 28 penunjuk perasaan,"katanya.
Media tempatan melaporkan mereka yang ditahan termasuk kanak-kanak bawah umur berusia 13 tahun.
Polis forensik dan pasukan pelupusan bom telah memeriksa pangsapuri Din Daeng dan kawasan berhampiran pada Khamis.
Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha telah menyatakan simpatinya terhadap anggota polis yang cedera parah ketika bertugas.
-- BERNAMA