Polis Thai dedah suspek letupan bom, jalin kerjasama dengan Malaysia

Agensi
Ogos 19, 2016 17:41 MYT
Polis mengenal pasti seorang lelaki Thai sebagai suspek dalam pengeboman di selatan Thailand minggu lalu. - Gambar fail
Polis Thailand mengenal pasti seorang lelaki tempatan sebagai suspek yang menyebabkan kematian empat orang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain dalam serangan bom di selatan Thailand minggu lalu, lapor Reuters.
Timbalan Polis Kissana Phatanacharoen berkata, pihaknya mengenal pasti suspek sebagai Ahama Lengha dari wilayah Narathiwat.
Kissana berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Malaysia untuk mengesan suspek lain.
"Kami telah menerima beberapa jawapan dari Malaysia yang berguna untuk kes ini,” katanya.
Kissana berkata polis belum menahan Ahama kerana ia tidak diketahui sama ada dia masih berada dalam negara ini.
"Kami hanya mengeluarkan satu waran tangkap berhubung dengan serangan bom, dan itu adalah untuk Ahama kerana jelas dia ada kaitan dengan apa yang berlaku," kata Kissana kepada pemberita pada Jumaat.
Tiada kumpulan yang telah mendakwa bertanggungjawab ke atas pengeboman yang berlaku sehari rakyat Thailand menerima perlembagaan tentera.
Polis dan kerajaan menolak sebarang kaitan penglibatan militan asing dalam serangan tersebut, dan menegaskan ia adalah kumpulan pengganas tempatan.
Kumpulan politik tempatan turut disyaki sebagai dalang termasuk kumpulan yang menyokong bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra yang digulingkan pada tahun 2006.
Walaupun penyokong Thaksin tidak dipersalahkan secara terang-terangan, namun polis mendakwa serangan telah dijalankan serentak oleh satu kumpulan atas arahan individu, tetapi polis tidak memberikan butiran lanjut.
#Ahama Lengha #Kissana Phatanacharoen #Thailand
;