Polis temui 2,000 bangkai kucing digunakan untuk perubatan tradisional

Agensi
Februari 18, 2023 22:00 MYT
Sesetengah masyarakat di Vietnam percaya bahawa ekstrak daripada tulang kucing boleh membantu menyembuhkan penyakit.- Gambar hiasan/ Pixabay
HANOI: Polis Vietnam menemui kira-kira 2,000 bangkai kucing yang dipercayai digunakan dalam perubatan tradisional.
Media tempatan melaporkan bangkai itu ditemui Khamis lalu di sebuah rumah penyembelihan di wilayah Dong Thap di Delta Mekong, bersama 480 ekor haiwan lain yang masih hidup.
Bangkai-bangkai itu berada dalam simpanan sejuk beku dan dipercayai akan dibawa ke utara Vietnam.
Sesetengah masyarakat di Vietnam percaya bahawa ekstrak daripada tulang kucing boleh membantu menyembuhkan penyakit seperti asma dan osteoporosis.
Dianggarkan sejuta ekor kucing menjadi diseludup secara haram setiap tahun di Vietnam, menurut kenyataan organisasi kebajikan haiwan, Four Paws International.
Anjing dan kucing adalah hidangan biasa dan tidak menyalahi undang-undang di Vietnam. Banyak restoran menghidangkan daging haiwan-haiwan ini tetapi memerlukan sijil bagi menunjukkan asal usul haiwan tersebut.
Rumah penyembelihan di Dong Thap gagal menyertakan kertas kerja sebagai bukti ia dibenar beroperasi dan gagal memperincikan asal-usul kucing-kucing tersebut.
Tiada penahanan dibuat setakat ini.
Industri perubatan tradisional adalah faktor utama perdagangan hidupan liar secara haram di Asia, dan Vietnam sering disebut sebagai habnya.
#Vietnam #perubatan tradisional #bangkai kucing #hidangan biasa
;