Polis tembak mati suspek tikam orang awam di selatan London

Agensi
Februari 2, 2020 00:41 MYT
Menurut jurucakap polis di laman Twitter, suspek ditembak oleh pegawai bersenjata dalam kejadian di Streatham, Selatan London. - Foto REUTERS
Polis Metropolitan London menembak mati seorang lelaki di selatan kota itu selepas suspek dipercayai menikam beberapa orang awam pada Ahad.
Menurut jurucakap polis di laman Twitter, suspek ditembak oleh pegawai bersenjata dalam kejadian di Streatham, Selatan London yang disifatkan ada kaitan dengan keganasan.
“Setakat ini, sejumlah mangsa dipercayai telah ditikam. Kejadian sedang disiasat dan dipercayai ada kaitan dengan kegiatan pengganas,” menurut kenyataan tersebut.
Suspek yang merupakan seorang lelaki disahkan meninggal dunia selepas ditembak oleh pihak berkuasa.
Menurut laporan media tempatan, sumber mendakwa insiden itu didalangi oleh kumpulan miltan Daish namun siasatan lanjut sedang dijalankan.
Anggota polis bersenjata bertindak mengepung kawasan yang terletak di sebatang jalan di pusat membeli belah di Streatham, kawasan yang padat dengan penduduk ke selatan River Thames.
Serentak itu juga, polis mengarahkan orang awam agar tidak menghampiri kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson menzahirkan ucapan terima kasih kepada pasukan kecemasan yang terlibat dalam misi menyelamat insiden itu.
“Ingatan serta doa saya terhadap semua yang tercedera dan terkesan,” katanya di laman Twitter.
#Britain #Daesh #London #mati #meninggal dunia #militant #pengganas #Perdana Menteri #polis #suspek #tembak #Twitter
;