Polis tembak mati lelaki bawa busur silang, pedang

Bernama
Januari 31, 2024 17:03 MYT
Polis Britain menembak mati seorang lelaki yang memakai perisai badan dan membawa busur silang, pisau, pedang serta kapak dalam satu kejadian di tenggara London. - Foto AP
MOSCOW: Polis Britain menembak mati seorang lelaki yang memakai perisai badan dan membawa busur silang, pisau, pedang serta kapak dalam satu kejadian di tenggara London, lapor Sputnik.
Tindakan itu diambil kerana polis "bimbang" suspek boleh mendatangkan kecederaan kepada orang ramai, menurut laporan penyiar Britain, Sky News pada Selasa dengan memetik pihak berkuasa.
Menurut laporan itu, suspek, 30, masuk ke dalam sebuah hartanah di kawasan Surrey Quays di London dan mengancam penghuninya, kata laporan itu, memetik Pejabat Bebas bagi Kelakuan Polis.
Pejabat itu berkata dua das tembakan dilepaskan selepas polis gagal berkomunikasi dengan suspek. Satu siasatan dilancarkan berhubung kejadian berkenaan.
Jurucakap Polis Metropolitan Asisten Komisioner Matt Twist berkata pegawai polis yang membawa senjata api telah dipanggil ke tempat kejadian selepas polis yang tidak bersenjata diancam dan "bimbang" terhadap keselamatan penghuni kediaman.
"Pegawai polis yang dibantu oleh paramedik memberikan pertolongan cemas kepada lelaki itu, yang memakai perisai badan, tetapi malangnya suspek meninggal dunia. Senjata yang ditemukan dari tempat kejadian termasuk busur silang, pisau, pedang dan kapak," kata Twist.
Beliau berkata dua orang yang berada di hartanah itu mengalami kecederaan ringan
-- BERNAMA
#Polis Britain #tembak mati #busur silang #Surrey Quays
;