Polis tahan Rajesh Kapoor curi barang kemas penumpang dalam 200 penerbangan

Bernama
Mei 15, 2024 14:00 MYT
Lelaki itu didakwa menempah penerbangan dengan perkhidmatan domestik premium menggunakan identiti abangnya yang meninggal dunia. - Gambar hiasan
NEW DELHI: Seorang lelaki di India ditahan kerana disyaki mencuri barang kemas dan barang berharga lain daripada penumpang pesawat semasa 200 penerbangan yang dinaikinya sejak tahun lepas.
Polis Delhi menahan suspek yang dikenali sebagai Rajesh Kapoor, 40, selepas mereka melancarkan siasatan terhadap dua kes kecurian barang kemas dalam penerbangan yang berbeza, baru-baru ini.
Lelaki itu didakwa menempah penerbangan dengan perkhidmatan domestik premium menggunakan identiti abangnya yang meninggal dunia dan mencuri barang berharga daripada beg tangan penumpang wanita dan warga emas.
Kapoor sebelum ini mahir dalam mencuri daripada penumpang kereta api sebelum mendapati dia boleh melakukan perkara yang sama di dalam pesawat.
"Dia memanfaatkan proses menaiki pesawat yang kelam-kabut dan menggeledah ruang bagasi atas, mencuri barang berharga daripada beg yang tidak berkunci ketika penumpang duduk di tempat duduk mereka," kata timbalan pesuruhjaya polis, Usha Rangnani, lapor akhbar Hindustan Times pada Selasa.
Dalam beberapa kejadian, selepas memilih mangsanya, Kapoor meminta untuk menukar tempat duduknya agar dekat dengan sasaran, lapor Agensi Berita PTI memetik seorang lagi pegawai polis.
Menceritakan tentang latar belakang jenayah lelaki tersebut, Rangnani berkata suspek "sangat aktif" antara tahun 2007 dan 2019 dan melakukan banyak kecurian.
Kapoor biasanya menjual barang kemas yang dicuri kepada seorang tukang emas dikenali sebagai Sharad Jain, 46, di barat Delhi.
Jain, yang mencairkan perhiasan untuk membuat barang kemas baharu turut ditahan.
Sejumlah besar barang kemas emas dan berlian ditemui dari rumahnya di Paharganj, kawasan perumahan di tengah Delhi.
-- BERNAMA
#Polis India #penumpang curi barang #kes curi dalam pesawat #rajesh kapoor
;