Polis tahan lelaki bantu siasatan kes kematian pelancong Switzerland
Bernama
Ogos 7, 2021 23:29 MYT
Ogos 7, 2021 23:29 MYT
BANGKOK: Polis Thailand berkata pihaknya telah menahan seorang lelaki yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes pelancong wanita dari Switzerland yang ditemukan mati di pulau peranginan Phuket pada Khamis.
Menurut Bangkok Post, Ketua Polis Jeneral Suwat Jangyodsuk berkata dengan tertangkapnya suspek berusia 27 tahun itu siasatan kes itu dianggap selesai.
Polis dijangka mengadakan sidang media berhubung kes itu pada Ahad.
Mayat pelancong berusia 57 tahun itu ditemukan berhampiran kawasan air terjun Ton Ao Yon dan mangsa disyaki dibunuh.
Mangsa dikenal pasti sebagai Nicole Sauvain-Weisskopf yang tiba di pulau itu pada 13 Jun di bawah program "Phuket Sandbox".
Sehingga kini, polis belum mengeluarkan laporan bedah siasat.
Dalam usaha untuk menghidupkan kembali industri pelancongan Thailand melancarkan inisiatif "Phuket Sandbox" bermula 1 Julai.
Di bawah program itu pelancong asing yang lengkap divaksin dari negara berisiko rendah dan sederhana serta negatif ujian saringan COVID-19 boleh memasuki Phuket.
-- BERNAMA
#Thailand
#Phuket
#Phuket Sandbox
#pelancong wanita
#Switzerland
#dibunuh
#maut
#Pembunuhan
#tangkapan
#suspek