Polis Sweden tahan lelaki yang disyaki terlibat insiden rempuhan lori

Agensi
April 8, 2017 21:59 MYT
Pihak berkuasa juga tidak menolak kemungkinan bahawa dia mempunyai rakan sejenayah, walaupun hanya satu orang telah ditahan.
Polis Sweden telah menahan seorang lelaki berusia 39 tahun yang disyaki memandu sebuah lori dan merempuh orang awam di kawasan siar kaki pada hari Jumaat, yang membunuh empat orang dalam sebuah insiden yang mereka sifatkan sebagai jenayah keganasan.
Walaupun polis enggan mengulas mengenai identiti atau motif lelaki itu, radio awam Sweden yang memetik sumber yang tidak dinamakan, berkata suspek itu dari Uzbekistan.
"Orang berkenaan telah ditangkap sebagai pelakunya... iaitu pemandu lori tersebut," kata jurucakap polis Lars Bystrom.
Ketua Agensi Keselamatan Sweden, Anders Thornverg bagaimanapun menafikan tentang warganegara suspek yang disebarkan tersebut.
Pihak berkuasa juga tidak menolak kemungkinan bahawa dia mempunyai rakan untuk melakukan jenayah itu, walaupun setakat ini hanya dirinya seorang ditahan.
Sehingga kini, tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut dan polis berkata keselamatan di sempadan Sweden akan ditingkatkan dan laluan diterhadkan di Jambatan Oresund yang menghubungkan Denmark dan Sweden.
#Lori #pengganas #rempuh orang awam #serangan #Stockholm #Sweden
;