Polis siar video serangan penembak sekolah
Astro Awani
Mac 29, 2023 08:30 MYT
Mac 29, 2023 08:30 MYT
NASHVILLE: Jabatan Polis Nashville mengeluarkan video serbuan sewaktu berbalas tembakan dengan penyerang yang disyaki dalang utama dalam insiden tembakan di sebuah sekolah Kristian Nashville.
Serbuan dilakukan beberapa minit selepas suspek menembak mati tiga pelajar dan tiga kakitangan sekolah.
Rakaman enam minit itu, yang diambil daripada kamera badan dua pegawai yang bertindak balas, menunjukkan polis memerikasa satu demi satu bilik darjah di tingkat satu sebelum menaiki tangga ke tingkat dua.
Tembakan boleh didengari beberapa saat sebelum suspek kelihatan dan jatuh ke lantai selepas ditembak.
Seorang pegawai melepaskan tembakan tambahan ke arah penyerang, yang kelihatan bergerak ketika pegawai lain berkali-kali memintanya meletakkan senjata.
Jabatan Polis Metropolitan Nashville mula menerima panggilan mengenai penembak pada jam 10.13 pagi, kata jurucakap polis Don Aaron.
Suspek disahkan meninggal dunia pada jam 10.27 pagi.
Penyiasat sedang meneliti motif yang ditulis oleh bekas pelajar berusia 28 tahun di Covenant School itu bagi mengetahui apa yang mendorong insiden tembakan rambang terbaru di Amerika Syarikat (AS) itu.
Namun polis percaya, motif kejadian berpunca daripada suspek menyimpan kebencian terhadap sekolah.
Pada Isnin, Nashville digemparkan dengan tembakan rambang oleh bekas pelajar sekolah persendirian Kristian Nashville mengakibatkan tiga pelajar maut, manakala tiga kakitangan sekolah terbunuh.
Insiden tersebut juga merupakan insiden penembakan di sekolah ke-90 di AS.