Polis Sepanyol rampas 13 tan kokain, rekod terbesar negara

Bernama
Oktober 27, 2024 13:45 MYT
Rampasan terbaharu ini mengatasi rekod sebelumnya iaitu 9.5 tan pada 2023, juga di Algeciras. - Gambar hiasan/ EPA
MADRID: Polis Sepanyol merampas 13 tan kokain dalam serbuan di Pelabuhan Algeciras, lapor Agensi Berita Jerman dpa.
Akhbar El Pais pada Jumaat melaporkan bahawa rampasan itu adalah yang terbesar di negara berkenaan, menurut kenyataan pihak polis dan pegawai kastam.
Seorang suspek telah ditahan.
Kokain itu disembunyikan dalam kargo pisang yang diimport melalui jalan laut dari Ecuador, negara yang dalam beberapa tahun kebelakangan ini menjadi antara pengeksport kokain terbesar.
Polis berkata pisang berkenaan dijadual dihantar kepada industri perniagaan di Alicante, di pantai timur Sepanyol.
Menurut laporan, rampasan terbaharu ini mengatasi rekod sebelumnya iaitu 9.5 tan pada 2023, juga di Algeciras.
Sebanyak 14 tan kokain ditemukan di pelabuhan itu tahun lalu, sementara keseluruhan rampasan di Sepanyol berjumlah 64 tan.
-- BERNAMA
#pengedaran dadah #sepanyol #rampasan terbesar #sindiket dadah
;