Polis, penunjuk perasaan bertempur di hadapan kediaman PM Thailand
Reuters
Ogos 15, 2021 22:57 MYT
Ogos 15, 2021 22:57 MYT
BANGKOK: Polis Thailand bertempur dengan penunjuk perasaan yang berkumpul di sekitar kediaman Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha pada Ahad, kali kelima dalam tempoh seminggu.
Pihak berkuasa terpaksa menggunakan meriam air dan gas pemedih mata bagi menghalang dan menenangkan penunjuk perasaan.
Sebuah konvoi berasingan disertai ribuan kenderaan mendesak Prayuth mengundurkan diri di tengah-tengah kemarahan masyarakat susulan kegagalan kerajaan menangani wabak COVID-19, melepasi bandar raya Bangkok tanpa menimbulkan kekacauan.
Namun sekali lagi perhimpunan bertukar ganas apabila mereka tiba di hadapan kediaman Prayuth. Pihak berkuasa menegaskan perhimpunan tersebut dilarang di bawah undang-undang darurat COVID-19.
Salah seorang penganjur konvoi, Nattawut Saikua, seorang aktivis politik veteran, turun ke lokasi bagi mendesak penunjuk perasaan untuk bersurai.
Gerakan tunjuk perasaan anti-kerajaan Thailand yang dipimpin oleh golongan anak muda kembali mendapat momentum dan sokongannya semakin luas selepas demonstrasi tahun lalu menarik ratusan ribu peserta, sebelum tindakan keras diambil pihak berkuasa.
Kumpulan politik lain, termasuk beberapa bekas sekutu Prayuth, turut serta dalam tunjuk perasaan ketika negara itu berjuang untuk mengatasi gelombang terburuk COVID-19.
Ribuan penunjuk perasaan membawa bendera merah, membunyikan hon dan mengikat pita merah di kenderaan mereka ketika mereka bergerak melalui Bangkok.
Penganjur memberi ucapan dan persembahan muzik dipertontonkan kepada penyokong melalui platform media sosial untuk mengekalkan penjarakan sosial sepanjang tunjuk perasaan.
Ramai penduduk Bangkok keluar dari rumah untuk menyambut konvoi, memberi sokongan dan sorakan.
"Matlamat kami adalah untuk mengusir Prayuth dari kedudukan perdana menteri dan kami akan melakukan ini dengan aman," kata Nattawut.
Polis mempertahankan tindakan menggunakan kekerasan dengan menyifatkan ia kadangkala perlu untuk menjaga ketenteraman awam.