Polis Okinawa 'pening' orang ramai suka tidur di tengah jalan

Astro Awani
Ogos 22, 2020 12:05 MYT
Panggilan kecemasan yang diterima bukan sahaja membabitkan mereka yang tidur di tepi jalan, tetapi ada juga yang tidur lena di tengah-tengah jalan raya. - Foto/Facebook Go Japan/Polis Okinawa
POLIS di wilayah selatan Okinawa, Jepun, bingung dengan tabiat orang ramai yang gemar tidur di jalan raya, dengan lebih 7,000 kes dicatatkan pada 2019 sahaja, termasuk yang mengakibatkan kemalangan maut.
Kebanyakan panggilan kecemasan yang diterima bukan sahaja membabitkan mereka yang tidur di tepi jalan, tetapi ada juga yang tidur lena di tengah-tengah jalan raya.
Malah ketika perintah berkurung berkuat kuasa, polis menerima 2,702 panggilan kecemasan dari Januari hingga Jun tahun ini, menyamai jumlah yang dicatat tahun lalu.
Mereka dipercayai berbuat demikian kerana cuaca panas, ditambah pula dengan kegemaran penduduk setempat terhadap 'awamori', sejenis minuman keras yang hanya terdapat di Okinawa.
Polis juga memaklumkan terdapat beberapa laporan membabitkan penduduk yang tidur di laluan pejalan kaki kerana ia "lebih sejuk dan selesa".
"Pihak berkuasa sudah melaksanakan kempen kesedaran tentang bahaya tidur di jalanan, tetapi setakat ini belum menampakkan hasil.
"Nampaknya, kami perlu mencari jalan untuk menguatkuasakan hukuman yang lebih tegas," kata Tatsuo Oshiro, Ketua Polis Okinawa.
Tidur di jalan raya melanggar Artikel 76 Akta Lalu Lintas Jalan Raya dan pesalah boleh didenda hingga 50,000 yen (RM1,975).
Polis ketika ini sedang mengadakan perbincangan dengan Pejabat Pendakwa Raya bagi meningkatkan hukuman terhadap pesalah.
#awamori #cuaca panas #jalan raya #Jepun #kemalangan #laluan pejalan kaki #maut #minuman keras #Okinawa #panggilan kecemasan #polis #tidur
;