Polis Myanmar lempar bom tangan, lepas tembakan untuk lerai tunjuk perasaan
Agensi
Februari 28, 2021 12:27 MYT
Februari 28, 2021 12:27 MYT
YANGON: Polis Myanmar melemparkan bom tangan dan melepaskan tembakan ke udara pada Ahad bagi meleraikan penentang pemerintahan tentera yang bertindak ganas dalam satu tunjuk perasaan di bandar itu.
Myanmar dilanda kekacauan selepas tentera merampas kuasa dan menahan Pengerusi Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), Aung San Suu Kyi dan sebahagian besar kepimpinan partinya dengan mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya pada November lalu.
Sebelum itu, pasukan polis memperketatkan kawalan di sekitar bandar Yangon susulan tunjuk perasaan yang dihadiri ratusan rakyat.
Menurut seorang saksi, Myint Myat, 29, polis bertindak pantas untuk meleraikan tunjuk perasaan berkenaan dengan meleparkan bom tangan ke arah kumpulan penunjuk perasaan.
"Kami terpaksa berlari dan bersembunyi tetapi saya kembali keluar kerana hari ini sangat penting. Sekiranya kami semua keluar menentang, mereka tidak akan menang," katanya yang dipetik laporan agensi berita Reuters.
Sementara itu, di Mandalay, polis yang mengawal tunjuk perasaan dilaporkan melepaskan tembakan ke udara bagi memerangkap kakitangan perubatan yang melakukan bantahan di kawasan hospital di bandar itu.
Polis dan jurucakap tentera yang berkuasa bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kejadian tersebut.
Pada Sabtu, polis melepaskan gas pemedih mata, bom tangan dan melepaskan tembakan ke udara bagi meleraikan tunjuk perasaan yang berlangsung di hampir keseluruhan bandar negara terbabit.
Polis yang berpakaian seragam dan anggota keselamatan yang berpakaian biasa dilaporkan turut menyerang beberapa orang awam.
Sementara itu, tunjuk perasaan di Bandar Monwya membawa kepada kecederaan seorang wanita selepas ditembak pihak berkuasa.
Dalam perkembangan sama, Ketua Junta, Jeneral Min Aung Hlaing berkata, pihak berkuasa telah menggunakan kekuatan minimum bagi meleraikan tunjuk perasaan tersebut.
"Namun begitu, sekurang-kurangnya tiga orang penunjuk perasan dan seorang anggota polis terbunuh sepanjang tempoh kejadian rusuhan itu," katanya.
#tembakan
#Aung San Suu Kyi
#polis
#Myanmar
#keselamatan
#Penunjuk perasaan
#pilihan raya
#protes
#tentera
#rakyat
#perubatan
#bom
#Jeneral Min Aung Hlaing
#junta tentera