Polis larang demonstrasi di Jakarta pada 2 Disember ini
Bernama
November 21, 2016 21:18 MYT
November 21, 2016 21:18 MYT
Ketua Polis Republik Indonesia Tito Karnavian hari ini mengeluarkan larangan bagi sebarang perhimpunan dan solat Jumaat di jalan raya seperti yang dirancangkan pihak tertentu pada 2 Dis ini.
Beliau berkata walaupun perhimpunan dan demontrasi adalah hak rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan negara, namun, hak itu bukanlah bersifat mutlak.
Media dalam talian memetik Tito sebagai berkata terdapat batasan untuk rakyat menyampaikan pendapat di khalayak umum tetapi ia tidak dilakukan dengan mengganggu hak asasi orang lain dengan menutup jalan protokol dan tidak boleh mengganggu ketertiban umum.
"Ibu-ibu yang mahu melahirkan anak terganggu (perjalanan ke hospital), pengangkutan awam terganggu dan menyebabkan kesesakan lalu lintas di Jakarta...maka, kami akan melarang (demonstrasi), kalau melawan akan kita bubarkan," katanya.
Beliau berkata siasatan mendapati tujuan demonstrasi kali ini mempunyai agenda lain termasuk untuk menjatuhkan kerajaan negara itu.
Tito berkata polis hanya membenarkan perhimpunan aman anjuran Gerakan Nasional Pengawal Fatwa (GNPF) Majlis Ulama Indonesia, yang dimulakan dengan solat Jumaat di masjid-masjid sahaja.
Beliau mengulas tindakan sesetengah pihak yang menguar-uarkan tentang penganjuran satu lagi demonstrasi yang dikenali sebagai 'Sejadah Jumaat' bagi membantah penyandang Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok, pada 2 Dis ini.
Ada pihak yang mahu menganjur demonstransi dan solat Jumaat itu di sepanjang Jalan Thamrin dan Jalan Sudirman di ibu kota ini dengan alasan mendesak supaya Ahok terus ditangkap kerana didakwa melakukan penistaan agama Islam.
Baru-baru ini, Bahagian Siasatan Jenayah Polis Jakarta mengesahkan Ahok akan didakwa ke mahkamah tidak lama lagi atas tuduhan menista Islam.
Ahok dalam kempen bertemu pengundi di Kepulauan Seribu dua bulan lepas dikatakan meminta umat Islam tidak terpedaya dengan pihak yang memetik surah Al Maidah mengenai larangan umat Islam untuk memilih orang bukan Islam sebagai pemimpin mereka.
Ahok adalah satu-satunya calon bukan beragama Islam dan beliau dicabar oleh dua calon lain iaitu Anies Baswedan dan Agus Harimurti Yudhoyono bagi merebut jawatan Gabenor Jakarta pada Pilihan raya Ketua Daerah (Pilkada) Februari depan.
Dalam reaksinya, Ahok berkata beliau bersedia menghadapi tuduhan itu tetapi mendakwa telah difitnah kerana beliau tidak bermaksud untuk menghina agama Islam dan Al Quran. -- Bernama