Polis Korea Selatan kerah 14,000 anggota menjelang keputusan pendakwaan Yoon
Bernama
Mac 19, 2025 16:00 MYT
Mac 19, 2025 16:00 MYT
Keputusan berhubung prosiding pendakwaan itu dijangka menentukan sama ada Yoon akan disingkirkan daripada jawatan susulan tindakannya mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Dis lalu. - Foto Reuters
SEOUL: Polis Korea Selatan akan mengerahkan kira-kira 14,000 anggota di Seoul pada hari keputusan Mahkamah Perlembagaan ke atas Presiden Yoon Suk Yeol, sebagai langkah berjaga-jaga terhadap sebarang gangguan ketenteraman awam.
Jumlah itu mewakili 60 peratus daripada keseluruhan pasukan kawalan rusuhan yang tersedia di seluruh negara di bawah tahap amaran keselamatan tertinggi polis, lapor Agensi Berita Yonhap pada Rabu.
Keputusan berhubung prosiding pendakwaan itu dijangka menentukan sama ada Yoon akan disingkirkan daripada jawatan susulan tindakannya mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Dis lalu.
Mahkamah telah menamatkan perbicaraan kes berkenaan pada akhir Februari lalu, namun tarikh rasmi bagi pengumuman keputusan masih belum ditetapkan.
Polis sebelum ini merancang untuk menempatkan 12,000 anggota di sekitar Seoul tetapi jumlah itu ditingkatkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk perhimpunan besar-besaran serta ancaman terhadap institusi kehakiman.
Selain itu, kawalan ketat juga akan dilaksanakan di sekitar Mahkamah Perlembagaan dengan kehadiran pegawai polis jenayah serta pasukan khas bagi menghalang sebarang percubaan menceroboh kawasan itu.
Sejak Khamis lalu, kawasan sekitar mahkamah diisytiharkan sebagai zon larangan terbang. Namun, pihak polis tetap akan menggunakan peralatan anti dron bagi menghalang sebarang penerbangan dron tanpa kebenaran.
Sebagai langkah tambahan, operasi beberapa premis berdekatan termasuk sekolah, sebuah stesen minyak, satu stesen kereta api bawah tanah serta beberapa tapak pembinaan akan dihentikan sementara pada hari berkenaan, manakala akses ke bahagian bumbung 22 bangunan di sekitar lokasi turut dikawal ketat.
Pada Januari lalu, penyokong Yoon menyerbu Mahkamah Daerah Barat Seoul sebagai tanda bantahan terhadap keputusan mahkamah yang secara rasmi mengarahkan penahanan presiden yang digantung tugas itu.
-- BERNAMA