Polis Jakarta tembak mati pemandu Grab yang culik dan rompak penumpang

Agensi
April 26, 2018 21:38 MYT
Penumpang tersebut telah diculik selama 7 jam sebelujm dirompak. - Gambar hiasan
Seorang pemandu Grab yang diburu kerana terlibat dalam kes menculik dan merompak penumpang dalam satu insiden pada Isnin lalu telah ditembak mati oleh polis Indonesia.
Portal berita Kompas.com melaporkan, suspek yang berusia 27 tahun itu turut melakukan jenayah itu dengan pertolongan dua lagi rakannya yang masing-masing berusia 23 tahun.
Ketua Polis Jakarta Barat Hengki Haryadi memberitahu, suspek utama itu terpaksa ditembak polis selepas melawan sewaktu hendak diberkas.
Selang dua hari selepas kejadian culik dan rompak itu, dua rakan suspek utama tersebut telah berjaya ditangkap terlebih dahulu di Penjaringan, Jakarta Utara sekitar jam 10 malam waktu tempatan.
Setelah disoal siasat, polis mendapat tahu kedudukan suspek utama di suatu lokasi lain dan polis telah membuat serbuan di lokasi berkenaan pada jam 5 pagi hari berikutnya.
“Kami cuba mengejarnya (di lokasi yang diserbu), namun suspek tersebut cuba menghalang dan melakukan kekerasan.
“Polis terpaksa bertindak tegas berdasarkan respons suspek,” ujar Hengki.
Polis turut merampas bahan bukti pada suspek seperti telefon pintar, kad ATM, barang kemas seperti gelang dan loket, beg tangan dan wang tunai.
Dua lagi suspek yang turut bersubahat melakukan salah laku jenayah itu kini berdepan perbicaraan.
Selain culik dan rompak, mereka juga berdepan dakwaan pencabulan dan cubaan pemerkosaan.
#culik #Indonesia #Jakarta #pemandu Grab #penjenayah #polis #rompak #tembak mati
;