Polis Jakarta tahan lima aktivis Islam kerana cubaan timbulkan kekecohan

Bernama
Mac 31, 2017 19:48 MYT
Dalam demonstrasi kira-kira pukul 2 petang waktu tempatan hari ini, puluhan ribu umat Islam berarak bersama sepanduk sambil melaungkan takbir dan selawat sepanjang jalan kira-kira 10 kilometer. - Foto Reuters
Polis menahan lima aktivis Islam termasuk Setiausaha Agung Forum Umat Islam (FUI) Muhammad Al Khaththath bagi membantu siasatan cubaan mahu menimbulkan kekecohan hari ini.
Ketua Hubungan Masyarakat Polis Metro Jaya, Argo Yuwono dipetik sebagai berkata, kelima-lima individu itu ditahan di lokasi berbeza pagi ini.
"Mereka ditangkap kerana disyaki mahu menimbulkan kekecohan dan kesemuanya masih disoal siasat secara intensif di Markas Komando di Kelapa Dua, Depok, Jawa Barat," katanya.
Penahanan mereka dipercayai ada kaitan dengan demonstrasi bagi mendesak penyandang jawatan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok, dilucutkan daripada jawatan itu.
Dalam demonstrasi kira-kira pukul 2 petang waktu tempatan hari ini, puluhan ribu umat Islam berarak bersama sepanduk sambil melaungkan takbir dan selawat sepanjang jalan kira-kira 10 kilometer.
Demonstrasi bermula dari Masjid Istiqlal Jakarta dan melalui bulatan Patung Kuda di persimpangan Jalan MH Thamrin dan Jalan Medan Merdeka Barat untuk menuju ke Istana Negara.
Beberapa wakil penganjur, FUI kemudiannya menemui Presiden Joko Widodo bagi menyerahkan memorandum mendesak Ahok dilucutkan daripada jawatan gabenor.
Demontrasi dikenali sebagai Aksi 313 itu adalah sebagai kesinambungan beberapa siri demonstrasi sebelumnya tetapi kali ini ia tidak mendapat sokongan Majlis Ulama Indonesia (MUI).
Malah kelmarin MUI menyeru umat Islam supaya tidak lagi menyertai demonstrasi jalanan bagi tujuan mendesak Ahok ditangkap kerana gabenor itu telahpun dihadapkan ke mahkamah.
Ketua Umum MUI Ma'ruf Amin petang tadi dilihat mengunjungi Istana Presiden ketika demonstrasi sedang berlangsung tetapi setakat ini tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh mana-mana pihak.
Ahok sedang menjalani perbicaraan atas tuduhan menista agama ekoran ucapannya yang menyentuh surah Al Maidah di Kepulaun Seribu tahun lepas.
Dalam ucapan itu, Ahok dipetik sebagai berkata umat Islam di kawasan tersebut akan diperdaya oleh golongan tertentu yang menggunakan petikan ayat suci mengenai larangan memilih golongan bukan Islam menjadi pemimpin mereka.
Kenyataan Ahok itu telah membangkitkan kemarahan umat Islam di Indonesia yang kemudiannya menganjurkan perhimpunan raksasa sebanyak dua kali yang disertai ratusan ribu umat Islam di seluruh Indonesia.
Ahok akan mempertahankan jawatannya dan dicabar bekas Menteri Pendidikan dan Kebudayaan, Anies Baswedan setelah kedua-dua mereka layak untuk bertanding di pusingan kedua.
Sistem pilihan raya negara itu mengkehendaki seseorang calon wajib melepasi 50 peratus daripada jumlah undi keseluruhan dan Ahok serta pasangan timbalannya Djarot Saiful Hidayat mendahului dengan mendapat 44.17 peratus.
Anies bersama pasangannya Sandiaga Salahuddin Uno pula mendapat 39.55 peratus manakala satu lagi pasangan iaitu Agus Harimurti Yudhoyono/Sylviana Murni pula terkeluar daripada saingan pusingan kedua apabila hanya mendapat 16.27 peratus undian. --Bernama
#ahok #aktivis Islam #basuki tjahaja purnama #FUI #Jakarta #Muhammad Al Khaththath #Polis Indonesia #Tahan
;