Polis Jakarta rampas satu tan ganja dalam lori
Bernama
Oktober 31, 2016 23:29 MYT
Oktober 31, 2016 23:29 MYT
Pasukan Bahagian Pencegahan Dadah Polis Metro Jaya di sini melumpuhkan satu sindiket pengedaran di ibu kota apabila merampas satu tan metrik ganja yang dibawa dalam sebuah lori.
Media-media dalam talian memetik Ketua Hubungan Masyarakat Polis Daerah Metro Jaya Awi Setiyono sebagai berkata bertindak atas maklumat awam, sepasukan polis dari Bahagian Pencegahan Dadah itu menahan sebuah lori di pintu keluar Tol Jalan Lingkaran Luar Jakarta di Bambu Apus Cipayung, Jakarta Timur pada kira-kira pukul 8 malam tadi.
"Setelah menggeledah lori itu, kita mendapati lori itu dipenuhi muatan ganja mampat dan polis turut menahan pemandu dan kelindan lori itu," katanya kepada wartawan di sini.
Beliau berkata, ganja itu dipercayai dibawa dari Aceh untuk tujuan pengedaran di sekitar Jakarta.
Katanya, pemandu lori itu memberi alasan beliau hanya mengikut arahan pelanggannya dari Aceh yang meminta barangan itu dihantar ke Jakarta dan beliau cuma mengambil upah penghantaran.
Pemandu dan kelindan lori yang masing-masing berusia 39 dan 44 tahun itu berasal dari Aceh dan kini ditahan di Balai Polis Metro Jaya bagi siasatan lanjut.
Wilayah Aceh di Sumatera terkenal sebagai pusat tanaman pokok ganja secara haram dan baru-baru ini polis menemui dan memusnahkan 189 hektar ladang ganja di tiga daerah di Aceh iaitu di Aceh Besar, Gayo Lues dan Nagan Raya.
Ladang-ladang ganja itu berada di hutan pergunungan dan tebing-tebing curam di kawasan pedalaman dan sukar untuk dilalui oleh orang awam dan pihak berkuasa. - Bernama