Polis Jakarta lumpuhkan sindiket pelacuran remaja dalam talian

Bernama
April 27, 2015 15:57 MYT
Pasukan Siasatan Jenayah Kanak-kanak dan Wanita Polis Metro Jakarta membongkar sindiket pelacuran remaja bawah umur secara dalam talian yang bergiat aktif. - Gambar hiasan
Pasukan Siasatan Jenayah Kanak-kanak dan Wanita Polis Metro Jakarta membongkar sindiket pelacuran remaja bawah umur secara dalam talian yang bergiat aktif di sebuah kondominium di kawasan Kalibata di Jakarta Selatan.
Akhbar tempatan Koran Tempo memetik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Metro Jaya Heru Pranoto sebagai berkata polis menahan seorang lelaki dipercayai menjadi 'bapa ayam' dan berjaya menyelamatkan enam remaja perempuan yang dijadikan pelacur itu.
Katanya polis turut merampas beberapa barang bukti termasuk kad akses ke kondominium dan telefon bimbit milik lelaki terbabit yang dipercayai membuat tawaran perkhidmatan pelacuran secara dalam talian itu.
"Sindiket pelacuran secara dalam talian itu dipercayai beroperasi sejak enam bulan lepas dan polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk beberapa laman sesawang dan laman sosial Twitter dan Facebook," katanya.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati remaja perempuan itu masing-masing berumur antara 14 dan 19 tahun.
"Seorang daripada mangsa didapati hamil enam bulan tetapi remaja itu masih dipaksa melayan sehingga tiga pelanggan sehari," kata Heru.
Sementara itu, akhbar itu turut melaporkan kesemua enam mangsa sindiket pelacuran itu kini diberi perlindungan sosial bagi membantu siasatan.
Polis berkata kesemua wanita dan kanak-kanak itu akan menjalani pemulihan akhlak supaya tidak lagi menjadi pekerja seks.
Kegiatan perkhidmatan pelacuran dalam talian menjadi perhatian di negara ini ekoran kes seorang wanita muda yang menjalankan aktiviti tidak sihat itu maut akibat dibunuh oleh pelanggan di dalam sebuah bilik sewanya di Jakarta Selatan baru-baru ini.
#jenayah #pelacur #remaja #talian
;