Polis Itali tumpas sindiket terbesar jual minyak zaitun palsu
Agensi
Mei 15, 2019 11:50 MYT
Mei 15, 2019 11:50 MYT
Polis Itali dan Agensi Penguatkuasaan Undang-undang Kesatuan Eropah (Europol) pada Selasa mengesahkan telah menahan 24 individu yang terlibat dalam sindiket menjual minyak zaitun palsu di restoran-restoran di seluruh Eropah.
Penangkapan itu merupakan hasil siasatan selama tiga tahun yang bermula dari satu laporan polis oleh seorang pelanggan di Foggia yang berkata rasa minyak zaitun yang dibelinya tidak seperti biasa.
Menurut pendakwa raya di Foggia yang mengetuai siasatan itu, sindiket itu mengimport minyak bunga matahari dari utara Itali dan Turki, dan kemudian ditambah dengan pewarna untuk membuatnya kelihatan seperti minyak zaitun berkualiti tinggi.
Produk itu kemudian dijual di restoran-restoran di Itali termasuk restoran ternama di Rom dan Milan serta seluruh Eropah.
Operasi "Yellow Gold" yang turut melibatkan 250 anggota tentera itu turut merampas barangan bernilai EUR100 juta.
Menurut pihak berkuasa, ini merupakan kes terbesar melibatkan minyak zaitun palsu merentasi sempadan.