Polis Itali selamatkan lukisan bersejarah, pihak muzium tak sedar pun ia dicuri

Agensi
Januari 21, 2021 08:12 MYT
Dua anggota polis mengawal lukisan "Saviour of the World" yang merupakan salinan daripada anak didik da Vinci, dalam sidang media di Rom. - Reuters
ROM: Lukisan berusia 500 tahun yang dicuri dari muzium gereja di Naples, Itali telah diselamatkan oleh pihak polis dari sebuah pangsapuri yang terletak di luar bandar di selatan negara itu, pada Selasa.
Namun begitu, kakitangan Muzium San Domenico Maggiore atau Muzium Doma, lokasi di mana lukisan itu dipamerkan, tidak pernah sedar akan kehilangan potret gambaran Jesus Christ yang dipercayai hasil lukisan anak didik Leonardo da Vinci.
Menurut pihak polis, mereka memulakan operasi mencari potret berkenaan di sebuah pangsapuri selepas mendapat maklumat tentang kehilangannya, hujung minggu lalu.
Potret tersebut dijumpai tersembunyi di dalam almari dalam rumah seorang pemilik berusia 36 tahun yang kemudiannya ditahan atas tuduhan memiliki harta yang dicuri.
Lukisan itu merupakan salinan lukisan terkemuka, Salvator Mundi atau "Saviour of the World" oleh da Vinci dan pernah dilelong pada harga AS$450 juta dolar (RM1.8 bilion) di bandar New York pada 2017.
Muzium Doma telah ditutup selama beberapa bulan susulan sekatan pergerakan akibat ancaman COVID-19.
#lukisan #Rom #San Domenico Maggiore #muzium doma #Naples #saviour of the world #Lukisan berusia 500 tahun #Muzium San Domenico Maggiore #Leonardo Da VincI
;