Polis Israel serang orang ramai pada pengebumian wartawan Al Jazeera
Agensi
Mei 13, 2022 22:38 MYT
Mei 13, 2022 22:38 MYT
PASUKAN polis Israel pada Jumaat menyerang orang ramai yang berkabung pada perarakan pengebumian wartawan Palestin, Shireen Abu Akleh, yang terbunuh minggu ini di Tebing Barat.
Tindakan keras pasukan keselamatan itu menyebabkan keranda yang diusung orang ramai itu hampir terjatuh dalam suasana kelam kabut, lapor The New York Times.
Video tersebar menunjukkan anggota polis di Baitulmaqdis memukul dan menendang orang yang berkabung di sebelah keranda wartawan Al Jazeera, yang maut dipercayai ditembak tentera Israel pada Rabu.
Ramai orang awam yang berkabung dilihat mengibarkan bendera Palestin.
Dalam satu kenyataan, polis Israel berkata mereka telah "dipaksa bertindak" semasa pengebumian kerana "perusuh mula membaling batu ke arah anggota polis" dan beberapa orang yang berkabung melaungkan "hasutan nasionalis."
Abu Akleh, wartawan Palestin-Amerika yang terkenal, ditembak mati pada pagi Rabu di Tebing Barat yang diduduki semasa serbuan Israel di bandar Jenin. Saksi berkata dia dibunuh oleh askar Israel.
Tentera Israel pada Jumaat mendakwa walaupun ada kemungkinan bahawa Abu Akleh terbunuh disebabkan kesilapan tembakan oleh Israel, siasatan awalnya mencadangkan bahawa dia mungkin juga telah dipukul oleh seorang lelaki bersenjata Palestin.