Polis Iran pasang kamera tangkap wanita tidak bertudung
Agensi
April 9, 2023 21:33 MYT
April 9, 2023 21:33 MYT
TEHRAN: Pihak berkuasa Iran dilaporkan memasang kamera di tempat awam dan jalan raya untuk mengenal pasti dan menghukum wanita yang tidak bertudung.
Memetik Al-Jazeera, pihak Polis Iran mengumumkan dalam percubaan baharu untuk mengekang peningkatan bilangan wanita yang melanggar kod pakaian wajib.
“Selepas suspek dikenal pasti, mereka akan menerima "mesej teks amaran tentang akibatnya", kata polis dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Difahamkan, kenyataan yang disiarkan oleh agensi badan kehakiman berita Mizan serta media kerajaan lain, langkah itu bertujuan untuk mencegah penentangan terhadap undang-undang hijab.
Tambah pihak polis, pihak mereka tidak akan bertolak ansur dengan sebarang jenis tingkah laku dan tindakan individu atau kolektif yang melanggar undang-undang hijab.
Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah kemarahan yang semakin meningkat dalam kalangan elit agama yang berkuasa di negara itu mengenai kelonggaran peraturan hijab wajib sejak protes anti-kerajaan yang tercetus pada September tahun lalu.
Semakin ramai wanita Iran telah menanggalkan tudung mereka sejak kematian seorang wanita Kurdish berusia 22 tahun dalam tahanan pada September lalu. Mahsa Amini ditahan kerana didakwa melanggar etika berpakaian negara untuk wanita.
Kematiannya mencetuskan gelombang demonstrasi anti-kerajaan yang melanda negara selama berbulan-bulan seterusnya pasukan keselamatan bertindak ganas terhadap penunjuk perasaan.