Polis Indonesia sahkan pempengaruh Malaysia buat cerita palsu
Sinar Harian
Februari 6, 2025 23:35 MYT
Februari 6, 2025 23:35 MYT
BANDUNG: Pempengaruh Malaysia, Ammar Mohd Nzahan dan Aras yang menghasilkan kandungan media sosial di Kota Bandung, Jawa Barat, Indonesia, rupanya berlakon mengenai kehilangan teman mereka di sebuah hutan.
KumparanNews menerusi laporan mereka pada Khamis mengesahkan siasatan polis mendapati ia adalah cerita palsu.
"Keterangan Ammar dan Aras menjelaskan mereka membuat siaran langsung di Bukit Embah Garut RT 05, RW 09, Kelurahan Cisurupan, Kecamatan Cibiru, Kota Bandung pada Ahad lalu menerusi TikTok dengan cerita sensasi 'pempengaruh Malaysia (Eykaa) hilang selama 48 jam selepas membuat kandungan paranormal'. Kandungan sensasi itu dibuat semata-mata untuk meningkatkan jumlah tontonan dan pengikut.
"Mereka tidak sedar bahawa undang-undang Indonesia mengenakan hukuman tegas terhadap penyebar berita palsu. Kandungan yang mereka buat juga tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa meskipun sudah diberi kelulusan oleh pengurus wilayah setempat," ujar Kapolsek Panyileukan, Kompol Kurnia.
Menurutnya, pempengaruh tersebut telah meminta maaf kepada polis dan membuat kenyataan bertulis serta video pengakuan bahawa mereka tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.