Polis India tahan pembunuh bersiri, korbankan lebih 50 pemandu teksi, jual organ dalaman

Agensi
Ogos 1, 2020 17:20 MYT
Setakat ini kata lelaki itu, dia berjaya menjual 125 organ pemandu teksi. - Imej dari edition.cnn.com
Polis India menahan seorang pembunuh bersiri yang dipercayai membunuh lebih daripada 50 pemandu teksi, yang kemudiannya mencampak mayat mereka ke dalam terusan yang dipenuhi buaya.
CNN melaporkan, Devender Sharma sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah membunuh tujuh pemandu teksi antara tahun 2002 dan 2004 di Jaipur, utara Rajasthan.
Selepas 16 tahun menjalani hukuman penjara, banduan berusia 62 tahun itu diberi parol atau pembebasan bersyarat selama 20 hari pada Januari lalu.
Walaupun demikian, selepas tempoh itu, Devender gagal kembali ke penjara sebaliknya menghilangkan diri.
Setelah enam bulan gagal dikesan, akhirnya polis berjaya menahan lelaki itu pada Rabu lalu, di mana dia tinggal bersama seorang janda yang dikahwininya ketika tempoh parol.
Berdasarkan soal siasat, lelaki itu mengakui dia tidak bercadang untuk kembali ke penjara selepas 20 hari pembebasan bersyarat sebaliknya meneruskan 'kerjayanya' itu.
Devender yang berkelulusan perubatan ayurveda dan mempunyai sebuah klinik di Rajastan sejak 1984 tahun itu memberitahu yang terlibat dalam pembunuhan itu untuk menjual organ-organ dengan harga antara AS$6,680 (RM28,323) dan AS$9,350 (RM39,644) setiap satu.
Setakat ini kata lelaki itu, dia berjaya menjual 125 organ dalaman pemandu teksi.
Menceritakannya, lelaki itu berkata, dia akan menaiki teksi dan meminta pemandu itu membawanya ke satu kawasan yang tidak ramai orang sebelum membunuh dan mengeluarkan organ-organ dalaman.
Sebaik 'selesai', mayat mangsa akan dibuang di terusan yang dipenuhi buaya.
Teksi itu katanya akan diubah suai dan dijual dengan harga AS$270 (RM1,144).
Meskipun dia mengaku menjadi dalang utama dalam 50 pembunuhan namun hanya beberapa kes sahaja yang dibuktikan di mahkamah ketika dijatuhkan hukuman.
#India #Narendra Modi #Pembunuh bersiri #penjualan organ #polis
;