Polis Imigresen Thailand pasang mesin pasport di pintu masuk
Bernama
Julai 13, 2017 09:19 MYT
Julai 13, 2017 09:19 MYT
Polis Imigresen Thailand akan memasang sistem pemeriksaan pasport automatik di pintu masuk negara ini bagi menambah baik sistem penyampaiannya dan mencegah perbuatan rasuah dalam kalangan pegawainya.
Keputusan itu diambil susulan lawatan Pesuruhjayanya Lt. Jen. Natthathorn Proussunthorn ke Pusat Pemeriksaan Imigresen Sadao yang bersempadan dengan Bukit Kayu Hitam, Malaysia, pada Selasa.
"Polis Imigresen merancang menggunakan sistem pemeriksaan pasport automatik bagi menambah baik urusan imigresen dan mencegah amalan rasuah,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau melakukan lawatan ke pusat itu berikutan aduan pelawat Malaysia dalam media Thailand baru-baru ini bahawa mereka perlu menyelit wang RM2 dalam pasport masing-masing sebagai sagu hati atau 'duit kopi' untuk pegawai imigresen memproses kemasukan mereka.
Semasa lawatan itu, Natthathorn juga mengadakan perjumpaan dengan para pegawai sempadan Malaysia yang bertugas di Pusat Pemeriksaan Imigresen Bukit Kayu Hitam dan bermesyuarat untuk melancarkan urusan di pusat pemeriksaan kedua-dua negara.
Menurut media tempatan, enam pegawai imigresen Thailand dipindahkan daripada bertugas di Sadao berikutan aduan mengenai 'duit kopi'.