Polis Hong Kong bertindak ke atas penunjuk perasaan di luar pejabat kerajaan
Astro Awani
Disember 1, 2014 12:11 MYT
Disember 1, 2014 12:11 MYT
Polis Hong Kong malam tadi bertindak ke atas mahasiswa penunjuk perasaan selepas kumpulan itu cuba merempuh kompleks pejabat kerajaan yang turut menempatkan pejabat Ketua Eksekutif wilayah itu, Leung Chun-ying, lapor South China Morning Post.
Polis menggunakan penyembur lada hitam dan belantan menyebabkan beberapa orang penunjuk perasaan cedera dan menerima rawatan daripada petugas perubatan.
Polis sebelum itu memberi amaran akan mengambil tindakan tegas bagi mengelak sebarang usaha mengepung bangunan kerajaan. Amaran itu dikeluarkan ketika pemimpin mahasiswa mengingatkan para penunjuk perasaan supaya tidak membuka ruang kepada pihak polis untuk mengambil tindakan yang keras.
Polis mengeluarkan amaran itu pada pukul 10.20 malam dan diikuti dengan satu kenyataan susulan lebih kurang satu jam kemudian.
South China Morning Post memetik kenyataan seorang jurucakap polis yang menyifatkan tindakan kumpulan mahasiswa itu merempuh benteng polis bertentangan dengan prinsip tunjuk perasaan aman yang dilaung-laungkan oleh mereka sebelum ini.
Akhbar itu juga melaporkan beberapa orang wartawan dan orang awam membuat laporan polis ekoran dakwaan mereka dipukul oleh anggota polis semasa membuat liputan tunjuk perasaan itu sepanjang minggu lalu.