Polis Dubai dipenjara sebulan, muat naik pasport Messi ke media sosial

AFP
Februari 1, 2016 06:56 MYT
Akibat terlalu teruja dengan kehadiran Messi di Dubai, seorang pegawai polis dipenjara sebulan. - Gambar fail
Mahkamah Dubai menjatuhkan hukuman penjara sebulan ke atas seorang anggota polis pada Isnin kerana memuat naik rakaman video pasport milik bintang bola sepak Argentina Lionel Messi ke media sosial.
Portal berita Gulf News melaporkan anggota polis itu yang hanya dikenali sebagai J.J., dikritik kerana ‘menyalahgunakan sistem telekomunikasi’.
Anggota polis itu mengaku bersalah atas perbuatannya menuat naik rakaman itu ke aplikasi Snapchat melalui telefon pintarnya.
Insiden itu terjadi Disember lalu di lapangan terbang Dubai, ketika Messi berkunjung ke negara tersebut bagi menghadiri majlis Globe Soccer Awards. Dalam acara itu, Messi menerima anugerah pemain terbaik.
Anggota polis itu pada awalnya mahu bergambar bersama bintang bola sepak berkenaan, tetapi telah diberitahu bahawa Messi terlalu letih, lapor media tempatan The National bulan lalu.
"Saya kemudiannya telah pergi ke kaunter kawalan pasport dan mendapati bahawa pasport Messi berada di situ, maka saya mengambilnya dan merakam video sambil memegangnya,” ujarnya.
#Lapangan Terbang Dubai #Lionel Messi #pasport Messi #Polis Dubai dipenjara