Polis buru penunggang motosikal didakwa bonceng 'makhluk halus'

Sinar Harian
Julai 18, 2024 08:00 MYT
Tangkap layar CCTV yang tular memaparkan seorang penunggang motosikal didakwa membonceng makhluk halus. - Foto Sinar Harian/ Agensi
KULON PROGO: Polis kini sedang giat memburu seorang penunggang motosikal yang didakwa membonceng 'makhluk halus' setelah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikatakan memaparkan perbuatan berkenaan tular di media sosial.
Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat Polis Kulon Progo, AKP Triatmi Noviartuti berkata, ini bagi menghilangkan rasa resah masyarakat selain bagi memastikan kejadian sebenar di sebalik rakaman CCTV itu.
"Sekarang kami sedang memburu penunggang tersebut, adakah benar sama ada dia membonceng pocong, selain sama ada ia terkait dengan perkara mistik" katanya kepada pemberita pada Selasa.
Terdahulu, rakaman CCTV yang dirakam di Polsek Lendah tular sehingga menghebohkan masyarakat setempat.
Rakaman itu difahamkan diambil di sekitar laluan di Kalurahan Jatirejo, Kapanewon Lendah, Kulon Progo minggu lalu.
Tambah Triatmi, berdasarkan rakaman awal, difahamkan pembonceng ketiga motosikal itu didakwa adalah pocong.
"Adakah pada malam itu terdapat dua orang pembonceng, yang mana ketiga itu pocong? Namun kita masih menunggu siasatan lanjut," katanya lagi.
Rakaman CCTV itu tular di semua platform media sosial malah mendapat tontonan yang tinggi di platform Instagram dengan 350,000 jumlah tontonan. - Sinar Harian
#pocong #motosikal #mistik #video tular
;