Polis buru lelaki di Berlin selepas tinggalkan bahan letupan di stesen kereta api

Bernama
Oktober 31, 2024 05:15 MYT
Polis sedang memburu seorang lelaki yang meninggalkan sebuah beg berisi bahan letupan di sebuah stesen kereta api di Berlin, Jerman, pada Rabu. - Gambar hiasan/AP
BERLIN: Polis sedang memburu seorang lelaki di sini pada Khamis selepas didapati meninggalkan sebuah beg berisi bahan letupan di sebuah stesen kereta api susulan pemeriksaan rutin oleh polis, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Penyiasat terus mencari lelaki itu yang melarikan diri dari tempat kejadian di stesen kereta api Neukolln, selatan Berlin, selepas diperiksa polis pada petang Rabu.
Bahan letupan berkenaan kemudian diletupkan oleh pihak polis di sebuah taman berhampiran.
Media Jerman melaporkan bahawa bahan yang ditemukan dalam beg lelaki itu ialah "triacetone triperoxide", memetik sumber keselamatan di ibu kota Jerman.
Bahan letupan itu sering digunakan oleh penjenayah yang menyasarkan mesin wang tunai, malah oleh pengganas dalam serangan besar di Brussels dan Paris.
Jurucakap polis pada Khamis berkata beliau "tidak dapat mengesahkan atau menafikan" laporan itu.
Penyiasat masih menyiasat latar belakang insiden itu, termasuk menggunakan rakaman dari stesen kereta api.
-- BERNAMA
#Berlin #bahan letupan #stesen kereta api #beg berisi bahan letupan
;