Polis Bangladesh larang perhimpunan tahun baru di Dhaka

Agensi
Disember 31, 2013 14:44 MYT
Polis mengharamkan sebarang bentuk perhimpunan untuk menyambut tahun baru di ibu negara Bangladesh ini bagi meredakan ketegangan politik menjelang pilihan raya umum pada 5 Januari nanti.
Komisioner Polis Dhaka Metropolitan Benazir Ahmed menasihatkan penduduk supaya tidak keluar rumah mulai pukul 8 malam ini, lapor Bloomberg.
Langkah ini adalah rentetan daripada rancangan pembangkang yang diketuai oleh Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) pimpinan bekas Perdana Menteri Khaleda Zia dan sekutunya untuk mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran pada Ahad.
Khaleda bagaimanapun dikenakan tahanan rumah oleh pihak polis sejak Rabu lepas manakala jalan masuk ke rumahnya disekat dan dikawal ketat.
"Ini tidak lain hanyalah penindasan oleh sebuah kerajaan yang tidak demokratik," kata Khaleda di halaman rumahnya sambil dikelilingi oleh polis, seperti dipetik oleh Bloomberg.
Khaleda sepatutnya memberikan pidato dalam rapat umum pada Ahad bertujuan memberi tekanan kepada Perdana Menteri Sheikh Hasina untuk meletakkan jawatan dan membatalkan pilihan raya pada Ahad ini.
Ibu negara Bangladesh ini pula terputus hubungan sejak Isnin apabila semua perkhidmatan kenderaan masuk ke Dhaka dihentikan bagi menyekat tunjuk perasaan tersebut. Perkhidmatan keretapi juga terhenti setakat Chittagong, bandar kedua terbesar di negara ini.
Polis juga dilaporkan telah menahan lebih 1,200 penunjuk perasaan sejak Jumaat lepas sebagai "langkah pencegahan" menyekat rapat umum yang dirancang oleh parti pembangkang.
Keganasan politik di Bangladesh telah menyebabkan lebih 100 orang terbunuh sejak Oktober lalu. Sejak Oktober itu juga, pihak pembangkang menganjurkan siri tunjuk perasaan dan melancarkan mogok.
Liga Awami yang dipimpin oleh Sheikh Hasina berikrar akan meneruskan pilihan raya pada 5 Januari ini biarpun dipulau oleh BNP dan sekutunya.
Parti pembangkang yang bimbang berlakunya penyelewengan pilihan raya mendesak Sheikh Hasina supaya berundur bagi membolehkan sebuah kerajaan sementara yang bebas melaksanakan pilihan raya berkenaan. Cadangan itu bagaimanapun beliau tolak.
Walaupun Liga Awami akan menang pilihan raya itu kerana tidak disertai oleh pembangkang, ia dilihat tidak akan menyelesaikan krisis politik di republik ini.
Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan negara-negara Komanwel enggan mengirimkan pemerhati pilihan raya. Kerajaan Sheikh Hasina bagaimanapun berjanji akan memastikan pilihan raya itu berjalan dengan adil dan bersih.
Pilihan raya itu akan dipantau oleh pemerhati yang terdiri daripada 29 NGO tempatan. -- Agensi
#Bangladesh #keganasan politik #khaleda zia #pilihan raya #Sheikh Hasina
;