Polis Bangkok tingkatkan kawalan berikutan rancangan serangan bom

Agensi
Oktober 11, 2016 12:34 MYT
Pihak berkuasa berkawal di banyak kawasan tumpuan utama di sekitar Bangkok kerana dikhuatiri menjadi sasaran kumpulan yang mahu melakukan serangan bom. - Gambar fail
Polis Thailand pada Selasa berkata mereka kini meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan mercutanda utama di Bangkok, lapangan terbang dan wilayah-wilayah sekitar susulan laporam mengenai rancangan pengeboman, lapor Reuters.
Laporan mengenainya hadir selepas beberapa minggu insiden pengeboman di selatan negara itu.
Kumpulan bersenjata dilaporkan sedang merancang serangan bom kenderaan di wilayah berdekatan Bangkok, ujar Ketua Majlis Keselamatan Nasional Thailand, Thawip Netniyom.
“Timbalan Perdana Menteri telah mengarahkan agensi-agensi keselamatan untuk menjejak dan memantau sebarang perkara yang luar biasa termasuk perancangan penyerang yang memasang bom pada kenderaan,” ujarnya.
Tambah Thawip, kumpulan itu menjadikan Bangkok sebagai sasaran untuk mencetus impak.
Negara Gajah Putih itu telah menyaksikan beberapa insiden serangan bom di wilayah selatan beberapa minggu lalu, yang mengorbankan empat warga Thai dan mencederakan ramai lagi termasuk pelancong asing.
Pihak polis mengaitkan insiden serangan dengan puak pemisah yang berpangkalan di wilayah selatan Thailand.
Thawip berkata, pihaknya tidak jelas sama ada rancangan pengeboman dengan kenderaan di Bangkok itu ada kaitan dengan serangan pada Ogos lalu di selatan.
Industri pelancongan Thailand sejak lebih sedekad lalu sering diuji dengan beberapa kekacauan dalam negara termasuk dua kali rampasan kuasa tentera dan siri pengeboman.
#bom bangkok #kawalan keselamatan #polis thailand #puak pemisah #serangan bom
;