Polis Australia temui mayat mangsa bunuh dipercayai milik warga Malaysia

Astro Awani
April 4, 2022 08:35 MYT
Polis mengiringi salah seorang suspek yang didakwa membunuh Kai Wong. -Gambar NSW Police
SYDNEY: Satu mayat dipercayai milik lelaki warga Malaysia ditemukan di kawasan luar bandar di barat laut Bathurst di New South Wales, Australia pada Ahad.
Mayat didakwa milik "Jacky" Chong Kai Wong itu dijumpai kira-kira jam 3.30 petang selepas penyiasat memulakan pencarian di sebuah kawasan luar bandar di Killongbutta.
Kai Wong dipercayai meninggal dunia di antara 25 Disember 2020 dan 8 Januari 2021.
Pihak berkuasa memaklumkan jasad yang ditemukan itu akan menjalani pemeriksaan forensik dan ujian DNA bagi mengesahkan identitinya, lapor 9news.
Walaupun mayat belum dikenal pasti secara rasmi, namun polis percaya ia adalah milik Kai Wong.
Pada 2021, pasukan petugas polis yang menyiasat kes sindiket dadah mendapati warga Malaysia berusia 24 tahun itu tidak dapat dikesan.
Tiga lelaki berumur 33, 22 dan 28 didakwa pada akhir Mac berhubung kematian Kai Wong, lapor The Australian.
Kai Wong telah menetap di Sydney sejak 2016 namun tidak berhubung dengan keluarganya sejak 28 Disember 2020.
Keluarganya memberitahu polis bahawa mereka percaya Kai Wong mungkin bekerja di New South Wales sebelum kehilangannya.
#Chong Kai Wong #Mayat warga Malaysia #Jacky #Killongbutta
;