Polis Australia tahan suspek tembak mati empat individu di Darwin
Reuters
Jun 5, 2019 09:54 MYT
Jun 5, 2019 09:54 MYT
Polis Australia menahan seorang suspek yang disyaki terlibat dalam satu kejadian tembakan sehingga menyebabkan empat mangsa terkorban manakala seorang cedera di Darwin, pada Selasa.
Tragedi itu disifatkan antara yang paling teruk pernah berlaku di bumi kanggaru itu.
“Setakat ini, kami tidak melihat kejadian itu mempunyai kaitan dengan serangan pengganas.
“Kejadian ini melibatkan seorang suspek yang bertindak secara solo,” kata Pesuruhjaya Polis, Reece Kershaw.
Menurut Kershaw, suspek yang berusia 47 tahun itu berjaya ditahan sejam selepas kejadian.
Katanya, suspek yang dibebaskan menerusi parol sejak Januari disyaki pernah mengendalikan pistol sebelum ini.
Tidak hanya itu, malah polis turut mengenal pasti penglibatannya dalam lima kejadian membabitkan kesalahan jenayah termasuk di kelab malam, taman dan kedai serbaneka.
“Kami masih berusaha untuk menyiasat punca sebenar kejadian dan dalang yang terlibat,” katanya.
Sebagai rekod, Australia sememangnya terkenal dengan negara yang mengamalkan kawalan ketat ke atas penggunaan senjata.
Ia ekoran kejadian tembakan yang mengorbankan 35 individu dalam satu kejadian di Port Arthur, di kepulauan Tasmania pada April 1996.
Selain itu, sebuah lagi kejadian tembakan paling buruk pernah direkodkan di Port Arthur adalah pada tahun lalu melibatkan tujuh sekeluarga.