Polis Australia tahan 13 individu selepas rampasan terbesar kokain
Bernama
Disember 2, 2024 22:30 MYT
Disember 2, 2024 22:30 MYT
SYDNEY: Polis Australia menangkap dan mendakwa 13 individu selepas rampasan kokain terbesar dalam sejarah negara itu, lapor Xinhua.
Ringkasan AI
- Polis Australia menangkap 13 individu, termasuk naib presiden geng motosikal haram, atas cubaan mengimport 2.34 tan kokain bernilai A$760 juta ke Queensland.
- Kokain itu diseludup melalui laut, dengan tangkapan dibuat selepas bot nelayan rekreasi yang dipercayai mengutip dadah mengalami kerosakan mekanikal.
- Semua suspek didakwa atas tuduhan konspirasi mengimport dadah terkawal komersial, dengan hukuman maksimum penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Polis Persekutuan Australia (AFP) mengumumkan jabatan itu mendakwa 11 individu dewasa dan dua remaja hasil kejayaan menumpaskan sindiket jenayah transnasional yang dituduh cuba mengimport 2.34 tan kokain melalui jalan laut ke Queensland, negeri di timur laut Australia.
Pegawai AFP dan Perkhidmatan Polis Queensland (QPS) membuat tangkapan pada Sabtu malam dan pada awal pagi Ahad.
Mereka yang ditangkap termasuk anak kapal yang didakwa cuba mengimport kokain ke Queensland dan beberapa pihak yang menunggu di pantai untuk mengumpul dadah terlarang. AFP mendakwa seorang daripada suspek ialah naib presiden geng motosikal haram.
Rampasan kokain ini adalah yang terbesar dalam sejarah Australia, dengan nilai pasaran dianggarkan sebanyak A$760 juta (US$493.6 juta).
"Kami tahu yang penjenayah sanggup mengambil risiko besar, malah mempertaruhkan nyawa mereka sendiri, untuk menyeludup dadah ke Australia tanpa mempedulikan kerosakan yang mereka lakukan kepada masyarakat Australia," kata Komander AFP Stephen Jay dalam satu kenyataan.
"Percubaan yang dipercayai untuk mengutip lebih daripada dua tan kokain dari laut ini menunjukkan penjenayah sanggup melakukan apa sahaja demi haloba dan keuntungan mereka sendiri, " katanya.
Kesemua 13 individu didakwa dengan satu tuduhan iaitu konspirasi untuk mengimport sejumlah dadah terkawal komersial.
Jika disabitkan kesalahan, mereka berdepan hukuman maksimum penjara seumur hidup.
Jay dan Pemangku Ketua Superintenden Detektif QPS Craig Morrow berkata pada sidang akhbar bahawa siasatan bersama bermula pada November selepas menerima risikan bahawa sindiket jenayah merancang untuk mengimport dadah ke Australia.
AFP, QPS dan Pasukan Sempadan Australia menjejaki sebuah bot nelayan rekreasi ketika ia dalam perjalanan ke laut dipercayai untuk bertemu dengan kapal induk untuk mengumpul kokain sebelum kembali ke Queensland.
Tangkapan dilakukan selepas bot itu terkandas di laut disyaki akibat kerosakan mekanikal.
Jay menjelaskan siasatan mengenai dari mana kokain diperoleh masih diteruskan.
-- BERNAMA