Polis Australia rampas wang tunai AS$1 juta, kokain, metilamfetamin di Sydney
Bernama
Januari 9, 2023 16:33 MYT
Januari 9, 2023 16:33 MYT
SYDNEY: Polis New South Wales (NSW) di Australia mendakwa empat lelaki selepas merampas lebih 5 kilogram (kg) kokain dan metilamfetamin serta wang tunai AUS$1.5 juta dolar (kira-kira AS$1.03 juta) di Sydney, lapor Xinhua.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, Polis NSW berkata pasukan itu menahan sebuah kereta sedan di Strathfield, pinggir bandar di barat Sydney pada kira-kira pukul 3.40 petang waktu tempatan (0440 GMT) pada Ahad dan menemui wang tunai dan dadah itu selepas menyiasat kereta yang dinaiki dua lelaki berusia 23 dan 28 tahun itu,
Polis turut menemui kira-kira 2.3 kg kokain dan wang tunai AUS$24,000 dolar (kira-kira AS$16,562) selain menemui 550g kokain dan 140g MDMA dari sebuah kereta hatchback berdekatan.
Susulan itu, penyiasat menemui dan merampas wang tunai AUS$1.5 juta dolar, 2kg metilamfetamin, 2 liter minyak metilamfetamin, hampir 700g kokain serta ganja dan steroid.
Tiga kenderaan, dua mesin tekanan hidraulik, dua jaket balistik, senjata api dan peluru, pelbagai lesen memandu dan barangan lain yang konsisten dengan pembuatan dadah terlarang, turut ditemui di lokasi.
Dua lagi lelaki berusia 18 dan 35 tahun ditahan di salah sebuah hartanah dan dibawa ke balai polis.
Polis tidak mengeluarkan sebarang maklumat mengenai anggaran nilai dadah yang dirampas itu, sambil menambah keempat-empat lelaki itu menghadapi pertuduhan, termasuk membekalkan dadah terlarang dalam kuantiti komersial yang besar.
Mereka tidak dibenarkan diikat jamin.
-- BERNAMA