Polis Australia rampas 300 kg meth disorok dalam mesin keluli
Bernama
Mei 24, 2023 23:37 MYT
Mei 24, 2023 23:37 MYT
SYDNEY: Polis Australia merampas lebih 300 kilogram (kg) methamphetamine yang disembunyikan dalam jentera keluli yang tiba di Sydney dari Mexico, kata pihak berkuasa Australia pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Dadah yang juga dikenali sebagai meth atau syabu ditemukan dalam 79 blok berbentuk bulatan yang tersembunyi dalam mesin penekan hidraulik keluli yang tiba di Sydney dengan kapal pada 18 April, menurut kenyataan bersama Polis Persekutuan Australia (AFP) dan Pasukan Sempadan Australia (ABF).
Nilai syabu itu dianggarkan lebih daripada AU$273 juta (US$180 juta), menurut polis.
AFP kini mengumpul maklumat untuk mengenal pasti sindiket jenayah di sebalik pengimportan itu.
"Rampasan ini menunjukkan tahap ekstrim operasi sindiket pengedaran dadah dalam usaha mereka menyeludup bahan terlarang ke Australia kerana keuntungan yang boleh mereka perolehi," kata Sarjan Detektif AFP Salam Zreika.
Inspektor ABF Marc Rea berkata kepakaran pegawainya membolehkan mereka mengesan konsainan tidak kira betapa kreatifnya percubaan penyeludupan itu.
"Dalam kes ini, keluli tebal pun tidak dapat melemahkan keazaman pegawai kami dalam mengesan methamphetamine yang tersembunyi di dalam mesin hidraulik," kata Rea.
-- BERNAMA