Polis Arizona dedahkan video kemalangan maut libatkan kereta Uber pandu sendiri

Agensi
Mac 22, 2018 08:38 MYT
Imej wanita melintas di hadapan kenderaan Uber pandu sendiri yang dirakam dalam video. - Reuters
Polis di Arizona, Amerika Syarikat (AS) pada Rabu mendedahkan sebuah video pendek yang menunjukkan detik kemalangan maut kenderaan Uber bebas pemandu dengan seorang mangsa yang melintas jalan.
Reuters melaporkan, susulan kejadian tersebut, banyak pihak kini menumpukan perhatian kepada ciri keselamatan kenderaan pandu sendiri.
Video itu diambil dari kenderaan SUV, Volvo XC90, yang digunakan Uber dalam ujian perkhidmatan tanpa pemandu.
BACA: Wanita Arizona maut dilanggar kereta Uber pandu sendiri
Rakaman itu menunjukkan kenderaan itu sedang melalui sebatang jalan yang gelap ketika secara tiba-tiba, imej seorang wanita yang menolak basikalnya muncul di depan kenderaan.
Wanita itu, Eline Herzberg, 49, kemudian meninggal dunia akibat kecederaannya.
Polis hanya mendedahkan sedikit maklumat tentang kemalangan yang berlaku pada malam Ahad di Tempe, Arizona itu.
Susulan insiden itu, Uber menggantung ujian perkhidmatan di Amerika Utara dan penyiasat persekutuan mula menjalankan siasatan berkaitan isu keselamatan.
Video itu juga menunjukkan seorang wanita berada di tempat duduk pemandu, dan dia hanya memandang ke bawah sepanjang kereta itu bergerak sendiri dalam mod bebas pemandu. Di penghujung video itu, wanita itu tiba-tiba memandang ke depan dan kelihatan terkejut.
“Video itu sangat mengganggu dan menyedihkan. Ingatan kami ditujukan kepada keluarga Elaine.
“Semua kereta kami kini tidak beroperasi, dan kami sedang membantu siasatan pihak berkuasa sebaik mungkin,” ujar Uber dalam satu kenyataan.
Video itu adalah bahagian penting dalam siasatan tersebut, dan akan menentukan sama ada kenderaan yang dilengkapi teknologi pandu sendiri selamat digunakan di jalan awam.
Persoalan yang timbul kini adalah mengapa sistem sensor tidak mengesan kehadiran mangsa yang dilanggar tersebut.
#bebas pemandu #kemalangan maut #pandu sendiri #polis arizona #SUV #teknologi #Uber #ujian pemanduan
;