Polis Abu Dhabi beri amaran tentang penipuan berkaitan Ramadan di media sosial
Bernama
Mac 20, 2025 05:15 MYT
Mac 20, 2025 05:15 MYT


Polis Abu Dhabi mengingatkan orang ramai tentang kepentingan untuk terus berwaspada terhadap penipuan dalam talian dan mematuhi garis panduan keselamatan siber. - Gambar hiasan/BERNAMA
ABU DHABI: Polis Abu Dhabi memberi amaran kepada orang ramai mengenai peraduan berkaitan Ramadan palsu yang tersebar di media sosial, yang memperdaya pengguna supaya berkongsi maklumat peribadi dan perbankan dengan alasan menuntut hadiah, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Polis juga memberi amaran terhadap pautan amal palsu di media sosial yang menyamar sebagai organisasi yang sah.
Pengarah Sektor Keselamatan Jenayah Polis Abu Dhabi Mejar Jeneral Mohammed Suhail Al Rashidi menjelaskan bahawa penipu meyakinkan mangsa bahawa mereka telah memenangi hadiah wang tunai, hanya untuk menuntut bayaran atau maklumat peribadi untuk memproses ganjaran.
Beliau menggesa orang ramai untuk menyemak kesahihan peraduan, mengelak daripada berkongsi data sulit, dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan.
Beliau juga menekankan kepentingan untuk terus berwaspada terhadap penipuan dalam talian dan mematuhi garis panduan keselamatan siber.
Mejar Jeneral Al Rashdi menggesa mereka yang ingin menderma hanya melalui organisasi yang dibenarkan dan saluran undang-undang.
-- BERNAMA