Poland: Kerajaan pimpinan Donald Tusk peroleh undi percaya

Bernama
Disember 13, 2023 11:00 MYT
Donald Tusk menyampaikan ucapan sebaik diumumkan dipilih sebagai Perdana Menteri Poland yang baharu pada Selasa. - Gambar REUTERS
WARSAW: Kerajaan pimpinan Donald Tusk berjaya memperoleh undi percaya pada Selasa di Sejm dengan 248 undi menyokong manakala 201 menentang, lapor Xinhua.
Tusk dipilih sebagai perdana menteri baharu menerusi undian di Parlimen pada petang Isnin selepas kerajaan pimpinan Mateusz Morawiecki gagal memperoleh undi percaya yang mencukupi.
Beliau akan mengetuai kerajaan campuran yang terdiri daripada tiga kumpulan pembangkang utama.
Sebelum sesi pengundian, Tusk membentangkan rancangan kerajaan pimpinannya serta komposisi anggota menteri yang baharu.
Antara lain, Tusk mengetengahkan langkah perundangan yang bertujuan menyokong usahawan dan guru-guru.
Tumpuan utama kerajaan baharu itu ialah menyelaras dana daripada Kesatuan Eropah (EU), dengan Tusk berjanji memulihkan dana EU yang dibekukan susulan pertikaian berhubung kedaulatan undang-undang.
Majlis angkat sumpah anggota Kabinet Tusk dijadual berlangsung pada Rabu. - BERNAMA
#poland #Donald Tusk #undi percaya #Mateusz Morawiecki
;