'Pocong' ditahan polis, gurauan pemuda jerat diri sendiri
Agensi
Januari 17, 2020 19:05 MYT
Januari 17, 2020 19:05 MYT
Tindakan mengusik orang ramai dengan memperagakan diri sebagai 'pocong' akhirnya menjerat diri seorang pemuda yang hanya dikenali sebagai MS, 17.
MS yang berasal dari Gowa, Sulawesi Selatan, diberkas polis pada Khamis malam ketika 'bercanda' dengan orang awam .
Sebelum itu, seorang individu mendakwa dia nyaris terjatuh dari motosikalnya sebaik melihat kelibat 'pocong' di Jalan Mustafa.
"Saya lihat dia ('pocong') itu sedang duduk di pinggir jalan dan saya terkejut sehingga hampir jatuh. Apa lagi (kejadian) berlaku pada malam Jumaat," kata Nandar pada portal berita Kompas.
Bertindak atas laporan orang ramai, pihak polis melakukan rondaan sebelum menangkap MS.
Suspek kini ditahan di Balai Polis Gowa.
Ketika disoal siasat, MS berkata, dia yang terlibat dalam perniagaan perunding perkahwinan berkata, aksi pocong itu dilakukannya sebaik selesai kerja.
"Saya baru selesai kerja-kerja membuka pelamin dan kebetulan ada kain putih, jadi saya cuba-cuba pakai (seperti pocong)," katanya kepada polis yang mengambil kenyataannya.
Sehubungan itu, polis menggesa kepada seluruh masyarakat agar jangan sesekali melakukan aksi yang boleh mengancam keselamatan orang ramai.
"Kami mengharapkan seluruh masyarakat agar tidak melakukan hal-hal aneh yang tentunya dapat mengancam keselamatan orang lain seperti pocong ini.
"Ini kerana pada semalam (Khamis) ada beberapa pemandu yang nyaris terjatuh kerana takut (dengan 'pocong')," kata jurucakap polis.